Sukan Lain

Wujudkan liga bola sepak pantai

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Juara Festival Bolasepak Pantai AFF di Thailand, Markless Komii, meletakkan harapan yang tinggi agar Liga Bolasepak Pantai dapat diwujudkan dalam negara.

Penolong Pengurus Markless Komii, Ahmad Mujahid Ali berkata, kewujudan liga itu penting bukan sahaja mampu melahirkan ramai bakat baharu, tapi lebih penting sebagai persediaan kepada pasukan negara bertanding di pentas antarabangsa.

Katanya, walaupun sukan itu tidak begitu popular berbanding bola sepak padang, namun dengan adanya liga berkenaan, pasukan negara berpotensi untuk muncul juara Asia dan mungkin di pentas dunia.

Tambahnya, lagipun di Malaysia banyak kemudahan yang ada termasuk kawasan berpantai seperti di Terengganu sekali gus boleh menaikkan imej sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sejak kebelakangan ini, saya dapati kita ketandusan pemain sedangkan pasukan bola sepak pantai kita berada pada ranking pertama Asean dan ke-77 dunia. Lagipun saya berpandangan sukan ini tidaklah memerlukan kos yang tinggi untuk kemudahan gelanggang, tidak seperti stadium bola sepak padang, jadi sudah tiba masanya pihak tertentu dapat mewujudkan liga bola sepak pantai ini.

"Saya percaya dan yakin jika liga ini diwujudkan, ramai anak muda berbakat dapat diketengahkan, lagipun mereka pasti dahagakan aksi lebih kompetitif berbanding hanya beraksi peringkat kampung.

"Lihat ketika aksi di Thailand itu, walaupun hanya berlatih empat hari, pasukan dari Terengganu itu berjaya membuktikan kehandalan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand pada final," katanya ketika majlis meraikan pasukan dari Terengganu itu hari ini.

Pasukan itu diraikan dalam majlis ringkas oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim selepas berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di bumi Thailand baru-baru ini.

Dalam perlawanan di Pattaya Beach pada11 November lalu, wakil negara yang dibimbing Wan Adremy Indera Wan Adnan mengatasi pasukan All Star Inter 13-3, Thailand A, 5-4 dan Thailand B, 5-3 sebelum muncul juara.

Lebih manis penyerang Harimau Malaya, Mohamad Norazman A Bakar muncul penjaring terbanyak dengan meledak enam jaringan sepanjang kejohanan manakala kapten, Mohd Zaharim Mohd Yusof dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir.

Disiarkan pada: November 29, 2021 @ 4:16pm
d