Sukan Lain

Prestasi di Paralimpik Tokyo lebih baik - Bonnie

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur Biarpun berjaya mempertahankan emas di Kejuaraan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin berkata ia bukanlah prestasi terbaiknya.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu mengungguli kategori 72 kilogram (kg) selepas berjaya melakukan angkatan seberat 210 kg sekali gus mempertahankan emas yang diraih pada edisi 2019 di Kazakhstan.

Namun ia jauh dari rekod dunia miliknya iaitu 230kg yang dilakukan ketika Piala Dunia Para Powerlifting Fazza Ke-11 di Dubai Jun lalu.

Manakala ketika di Tokyo 2020 Bonnie menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam acara powerlifting dengan angkatan 228kg sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum itu dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika edisi 2016 Rio de Janeiro.

Mengulas mengenai prestasinya itu, Bonnie menegaskan bahawa prestasinya tidak sebaik ketika dia meraih emas di temasya Paralimpik Tokyo yang lalu.

"Apapun saya tetap gembira dengan kejayaan ini. Biarpun tak sehebat seperti di Paralimpik Tokyo namun saya sudah beberapa kali sampai ke kemuncak prestasi tahun ini.

"Atas sebab itu selepas berbincang dengan jurulatih, jurulatih menyarankan untuk saya hanya meletakkan sasaran untuk kekalkan kedudukan juara," katanya.

Pada aksi di Tbilisi itu, Bonnie jauh meninggalkan pencabar terdekatnya dari China, Hu Pang yang meraih perak dengan angkatan 196kg manakala atlet Mesir, Shaaban Ibrahim memenangi gangsa dengan angkatan 195kg.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 1:47pm
d