Sukan Lain

Morikawa hampiri trofi Cabaran Dunia

Oleh AFP

Miami: Collin Morikawa, yang memburu kejuaraan untuk menjadi pemain nombor satu dunia, berjaya mencatatkan lapan di bawah par 64 bagi mendahului lima pukulan pada pusingan ketiga Cabaran Dunia Hero.

Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 24 tahun itu membenam enam birdie dan satu eagle untuk mengumpul keseluruhan 18 di bawah par 198 dalam kejohanan yang berlangsung di resort Albany, Bahamas.

"Saya bermain menggunakan kekuatan yang ada. Itulah yang sepatutnya saya lakukan. Secara keseluruhan saya rasa permainan saya sudah cukup baik setakat ini.

"Saya hanya perlu turun ke lapangan dan bermain seperti mana sebelum ini serta bersedia bermula lubang pertama," kata Morikawa.

Penyandang juara Terbuka British itu mampu memintas Jon Rahm dari Sepanyol untuk melonjak ke tangga teratas dunia buat kali pertama jika dia kekal terus mendahului saingan pada pusingan terakhir.

"Anda tidak akan dapat kedudukan seperti ini setiap minggu. Anda harus mengambil kesempatan apabila mempunyai peluang. Itulah yang saya ingin cuba lakukan pada pusingan terakhir," kata Morikawa.

Juara empat kali kejuaraan utama dan menduduki ranking ke-16 dunia, Brooks Koepka menduduki tempat kedua dengan 203 pukulan.

"Saya akan cuba bermula dengan baik. Itulah saja yang saya mampu lakukan. Ketinggalan lima pukulan, jadi saya harus lakukan sesuatu," kata Koepka.

Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 2:38pm
d