Sukan Lain

Woods kembali beraksi di Florida

Oleh AFP

Miami: Tiger Woods berkata dia akan melakukan penampilan semula dalam aksi golf kompetitif pada Jelajah PGA bagi Kejuaraan PNC dekat Florida.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak beraksi sejak berdepan kecederaan kaki dalam kemalangan kereta awal tahun ini sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai karier golfnya.

Woods akan beraksi pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung 16-19 Disember disamping anak lelakinya, Charlie.

"Sekalipun agak lama dan mengharungi tahun yang mencabar, saya sangat teruja untuk bertanding di Kejuaraan PNC bersama anak lelaki saya Charlie," umum Woods menerusi Twitter.

"Saya beraksi sebagai ayah dan begitu teruja dan bangga," tambah Woods, yang mengalami kecederaan teruk di kaki kanan selepas kemalangan di Los Angeles pada Februari lalu.

Kejuaraan PNC yang berlangsung di Kelab Golf Ritz-Carlton dekat Orlando menyaksikan 20 pasukan juara utama mengambil bahagian bersama keluarga pilihan masing-masing.

Woods beraksi pada acara 2020 bersama Charlie, 12, pada kejohanan yang dimenangi oleh Justin Thomas dan bapanya, Mike.

Disiarkan pada: December 9, 2021 @ 10:37am
d