Sukan Lain

Red Bull, Mercedes sambung perseteruan di atas air

Oleh AFP

Auckland: Red Bull mengumumkan mereka akan menghantar pasukan beraksi di perlumbaan kapal layar Piala Amerika, sekali gus menyambung lagi perseteruan sengit Formula Satu (F1) bersama Mercedes di atas permukaan air.

Prinsipal Red Bull Racing, Christian Horner berkata, pasukan mereka akan bergandingan bersama juara dua kali Piala Amerika Alinghi untuk mencabar trofi paling berprestij dalam sukan pelayaran.

"Pasukan F1 kami tidak sabar untuk membantu ahli baharu keluarga kami ini untuk berjaya, kami akan berkongsi pengalaman kami, petua kejuruteraan dan sebagainya. Ia adalah kerjasama dua hala," katanya dalam satu kenyataan.

Pencabar mereka Ineos Britannia sudah lama memeterai perjanjian bersama Mercedes, yang sebelum ini bertegang urat bersama Red Bull dalam saingan F1 musim ini.

Kemuncak perseteruan itu menyaksikan pemandu Red Bull dari Belanda, Max Verstappen, dinobatkan sebagai juara dunia dalam perlumbaan kontroversi mengatasi pemandu Mercedes Lewis Hamilton dari Britain minggu ini.

Persengketaan berlarutan apabila pasukan dari Jerman itu cuba membuat bantahan sebanyak dua kali.

Kedua-dua pasukan kapal layar itu akan membawa teknologi F1 ke kapal monohull AC75 sepanjang 23 meter yang digunakan semasa Piala Amerika terakhir, tatkala saingan itu dimenangi oleh New Zealand di Auckland Mac lalu.

Alinghi, yang dimiliki jutawan Switzerland, Ernesto Bertarelli, memenangi Piala Amerika pada 2003 dan 2007 namun tidak mengambil bahagian sejak 2010.

Ketua Eksekutif, New Zealand, Grand Dalton berkata, menggunakan lebih banyak kepakaran FI kepada kapal layar menjadikan edisi Piala Amerika yang seterusnya sebagai salah satu perlumbaan paling menarik pernah dicatatkan.

"Kami melihat penggabungan dua sukan menggunakan teknologi paling terkini di dunia di darat dan di atas air, akan menjadi perkara yang luar biasa untuk pertandingan dan pertumbuhan sukan ini," katanya.

Lokasi kejohanan Piala Amerika 2024 masih belum ditentukan, walaupun Dalton berkata ia tidak mungkin akan kembali ke Auckland atas sebab kewangan.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 12:22pm
d