Sukan Lain

Atlet olahraga Selangor tak terima elaun

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Bekas atlet Selangor yang memenangi pingat di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 mengakui sememangnya mereka tidak pernah mendapat elaun seperti yang dijanjikan Persatuan Olahraga Selangor (POS).

Malah, atlet berkenaan sudah melupakan 'janji manis' itu sekali gus tidak mahu meletakkan harapan tinggi memperoleh elaun berkenaan memandangkan sudah lebih tiga tahun sepi tanpa sebarang khabar berita.

Pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukma 2018 Muhammad Aqil Yasmin mengakui POS pernah menjanjikan untuk memberi elaun atau bayaran insentif apabila berjaya memperoleh pingat untuk Selangor.

Aqil berkata, sebelum ini dia hanya menerima bayaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan kerajaan negeri yang menyerahkannya beberapa bulan selepas tamat temasya terbabit.

"Sudah tiga tahun, sehingga kini tidak menerima sebarang elaun atau bayaran insentif seperti dijanjikan oleh POS," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan kepimpinan terbaharu POS mendedahkan bahawa badan induk olahraga negeri itu mempunyai 'hutang' tertunggak membabitkan pembayaran insentif kepada atlet memenangi pingat di temasya Sukma 2018.

Walaupun sudah menjangkau tiga tahun, pembayaran insentif kira-kira RM16,000 itu masih belum dijelaskan sekali gus menuntut kepimpinan terbaru POS menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

Sementara itu, situasi sama turut diakui pemenang pingat emas 800 m Sukma 2018 Putra Azrul Syazwan Azman yang berharap perkara terbabit dapat diselesaikan segera oleh kepimpinan baharu POS.

"Sebaik memenangi pingat emas, POS pernah menjanjikan akan memberikan bayaran insentif kepada pemenang pingat kontinjen Selangor namun sehingga kini saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu," katanya.

Arena Metro cuba menghubungi Presiden POS terdahulu Datuk SM Muthu namun beliau enggan mengulas lanjut berkaitan perkara terbabit.

Disiarkan pada: December 16, 2021 @ 9:08pm
d