Sukan Lain

PABM mahu 'angkat' pingat di tiga temasya utama

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mahu lebih banyak kejayaan dicipta oleh atlet mereka apabila meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas di pentas Sukan Sea Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou.

Walaupun terpaksa mengerah kudrat 'badang' mereka, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, berkata pihaknya akan menyenaraikan atlet terbaik daripada pasukan yang baharu dibentuk termasuklah Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin bagi menyertai tiga temasya itu.

Katanya, biarpun ramai beranggapan Aniq dan Aznil yang sudah melayakkan diri ke Sukan Komanwel perlu diberi ruang bagi membolehkan mereka fokus terhadap misi meraih emas di temasya berkenaan namun beliau menegaskan itu adalah corak pemikiran lama.

"Kita sudah pun mengumumkan pembentukan pasukan baharu yang mana fokus adalah untuk Sukan Sea, Komanwel dan Asia. Mereka sepatutnya menyertai ketiga-tiga temasya berkenaan.

"Saya tahu ada orang kata kalau angkat di Sukan Sea nanti akan cedera dan sebagainya, ini yang saya hairan apabila ada orang sukan bercakap begitu. Kalau kita tengok Liverpool atau pasukan lain dalam Liga Perdana Inggeris, bermain tiga atau empat perlawanan seminggu tiada masalah pun.

"Kita perlu bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dan sebab itu pendedahan adalah sangat penting. Kita juga perlu ingat tahap Sukan Sea dan Sukan Asia adalah lebih tinggi berbanding Komanwel.

"Selama ini kita hanya menumpukan Sukan Komanwel disebabkan ia memberikan kita emas tetapi kini kita tidak boleh lagi berfikir begitu untuk kita melangkah lebih jauh," katanya.

Selasa lalu (online kelmarin), PABM mengumumkan enam atlet disenaraikan dalam pembentukan pasukan angkat berat kebangsaan yang baharu dengan misi memburu pingat pada Sukan Sea Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham, tahun depan.

Mereka ialah Aniq yang beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg), Aznil (61kg), Muhammad Erry Hidayat (73kg), Mohd Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109) dan Elly Cassendre Engelbert (55kg wanita).

Sukan Sea Vietnam dijadual bermula 12 hingga 23 Mei diikuti Sukan Komanwel (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia (10 hingga 25 September).

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 1:07pm
d