Sukan Lain

Hukuman atlet angkat berat wanita lebih ringan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Seorang atlet angkat berat wanita yang didapati positif doping mungkin boleh menarik nafas lega apabila berdepan hukuman lebih ringan berbanding dua atlet sebelum ini.

Ini kerana bahan terlarang yang digunakan oleh atlet berkenaan adalah berada dalam kategori 'stimulants' (S6) dan hukumannya mungkin ringan.

Atlet berkenaan berdepan hukuman penggantungan dua tahun berbanding dua atlet angkat berat sebelum ini iaitu Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari yang digantung empat tahun.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata, hukuman dikenakan berdasarkan bahan yang diambil oleh setiap atlet.

Katanya, bahan yang diambil oleh Azroy dan Ikram adalah (S1) yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah Senarai Terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).

"Atlet berkenaan mengambil sibutramine yang berada dalam kategori S6 yang dikesan dalam ujian terhadap atlet wanita berkenaan.

"S6 ini tak sama dengan S1 yang diambil oleh Azroy dan Ikram. S6 ini hukuman dia mungkin dua tahun tapi terpulang kepada keputusan perbicaraan," katanya.

Terdahulu seorang atlet angkat berat wanita didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang pada Oktober lalu.

Bagaimanapun hingga kini masih belum ada sebarang tarikh bilakah sesi pendengaran kes terbaharu itu akan berlangsung.

Disiarkan pada: December 26, 2021 @ 5:51pm
d