Sukan Lain

Benarkan kami guna Arena Tenis Perak: PLTA [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTA) menggesa kerajaan negeri dan pihak berkaitan mempertimbangkan membenarkan Arena Tenis Perak dibuka untuk kegunaan pemain berdepan beberapa kejohanan.

Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTA), Fazwil Abdul Wahid berkata, ia menjadi harapan besar gelanggang dapat dibuka secepat mungkin bagi memastikan kemudahan pemain untuk berlatih sebaiknya.

"Arena tenis ketika ini digunakan sebagai tapak Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), tetapi mungkin sekarang volume sudah tidak berapa ramai jadi apa salahnya pindah ke dewan lain ataupun menggunakan Stadium Indera Mulia berhampiran yang sebelum ini dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Harapan besar arena tenis kita dapat dibuka sepenuhnya secepat mungkin kerana tanpa gelanggang berkenaan memang susah kita hendak membuat aktiviti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menyerahkan sumbangan untuk pemain tenis negara, Mitsuki Leong, 17, dan adik perempuannya Shihomi Leong, 14, di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di sini hari ini.

Fazwil berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atlet berlatih di gelanggang di Padang Polo selepas mendapat kebenaran daripada pihak Majlis Sukan Negeri (MSN)

"Di Padang Polo itulah dua gelanggang yang ada dan perlu berebut dengan yang lain, bagaimanapun Alhamdulillah pemain lain faham kita perlu melatih pemain negeri ini," katanya.

Beliau berkata, ia juga menjadi satu kepentingan untuk arena itu dibuka tambahan Ipoh yang bakal menjadi lokasi bagi kejohanan tenis dunia remaja dunia Persekutuan Tenis Dunia (ITF) kategori J4 yang dijangka membabitkan penyertaan 20 negara pada 24 hingga 29 Mei hadapan.

"Kita mendapat kebenaran daripada ITF untuk menjalankan enam kejohanan di Malaysia antara salah satunya akan diadakan di Ipoh.

"Sebelum itu pada bulan Mac akan diadakan satu kejohanan remaja dunia ITF di Selangor dan Melaka, Sabah, Sarawak dan kemudian bergerak ke negara lain seperti Indonesia dan Thailand," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2022 @ 10:37pm
d