Sukan Lain

MABA terima suntikan dana RM1 juta

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mendapat suntikan dana bernilai RM1 juta untuk menempuh musim 2022 dalam misi mereka merangkul sekurang-kurangnya satu pingat pada temasya Sukan SEA Vietnam Mei ini.

Menerusi presidennya yang baru dilantik selepas tamatnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini, Datuk Lee Tian Hock memaklumkan dana berkenaan juga merangkumi lima sasaran utama yang ingin dicapainya tahun ini.

Antara yang ingin dibangunkan oleh Tian Hock adalah memodenkan bangunan MABA, latihan yang lebih intensif, program naturalisasi pemain, melancarkan liga profesional bola keranjang dan juga memenangi pingat emas di Sukan SEA dalam tempoh enam tahun.

Tian Hock turut berharap kesemua 18 ahli di bawah MABA dapat bekerjasama untuk merealisasikan hasrat membangunkan sukan bola keranjang.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua terutama kepada Datuk Wira Tan Kang Yong kerana memberi saya peluang untuk meneraju persatuan ini.

"Saya yakin beliau akan terus bersama memberi sokongan kepada MABA dalam untuk merangkul lebih banyak kejayaan buat skuad bola kerajaan kebangsaan," katanya.

Terdahulu pada AGM yang berlangsung, Tian Hock diumumkan selaku presiden baru MABA selepas Kang Yong memilih mengundur diri untuk memberi laluan kepada Tian Hock.

Kali terakhir skuad bola keranjang meraih pingat emas di temasya Sukan SEA dalam kategori lelaki lima lawan lima pada 1989 di Kuala Lumpur manakala skuad wanita meraih emas pada 2017 juga dalam acara yang sama.

Dalam perkembangan yang sama Tian Hock akan memaklumkan perancangan MABA sepanjang musim 2022 selepas mesyuarat jawatankuasa yang akan berlangsung 22 Januari ini.

Temasya Sukan SEA Vietnam menawarkan empat pingat emas dalam acara tiga lawan tiga dan lima lawan lima lelaki dan wanita.

Disiarkan pada: January 9, 2022 @ 11:04pm
d