Sukan Lain

Ziyad 'upgrade' perniagaan mi lontar

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Jika anda berada di Kajang dan terlalu kepingin untuk mencuba keenakan sajian mi lontar di gerai Ziyad Noodle di Sri Hartamas, anda tidak perlu lagi ke sana untuk menikmatinya.

Kini gerai jualan mi lontar atlet lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli sudah dinaik taraf bukan sekadar makan di gerai sebaliknya mengikut trend semasa dengan perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Sejajar dengan trend semasa yang menggalakkan penjualan dalam talian dan secara penghantaran ke pintu rumah, Ziyad memutuskan untuk menggunakan dua perkhidmatan penghantaran makanan terkenal di negara ini, Grab Food dan Food Panda.

"Anda semua tidak perlu susah-susah datang ke kedai... sekarang Ziyad Noodle sudah mempunyai foodpanda dan grabfood. Anda hanya perlu pesan di aplikasi itu," tulis Ziyad dalam perkongsian di laman Instagram peribadinya.

Ziyad Noodle menawarkan masakan berasaskan mi termasuk mi pho bo lontar, mi sup lontar, mi kari lontar, mi pho bo, mi sup, mi kari dan lontong goreng. Harga di gerai bermula dari RM6.90 hingga RM14.90.

Ziyad, 31, yang meraih pingat emas kelas T20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Paralimpik Rio 2016, turut berkongsi pengalamannya bercuti bersama keluarga di Port Dickson sempena Tahun Baharu 2022 baru-baru ini.

Dia bersama isteri, Zafira Nasir dan dua anaknya, Zuhayra Zafra dan Thariq Zavier menikmati percutian percuma tiga hari dua malam di Lexis Hibiscus, Port Dickson.

"Servis terbaik sangat-sangat awesome dari mula saat check-in... staf sangat-sangat friendly, memudahkan urusan dari keluarkan beg di dalam kereta sampai la di bilik... dipermudahkan lagi dengan adanya buggy 24 jam sampai ke depan pintu bilik.

"Pengalaman dating berdua dengan isteri dan disajikan makanan pagi yang sedap dan tak dilupakan terima kasih kerana bagi parking khas untuk kami sangat memudahkan kerana mempunyai dua orang anak kecil," tulisnya.

Disiarkan pada: January 10, 2022 @ 2:10pm
d