Sukan Lain

Hidupkan Program Rakan Sukan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bagi menampung kekurangan peruntukan daripada kerajaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan Program Rakan Sukan perlu dihidupkan semula secepat mungkin.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, untuk permulaan, kerajaan boleh memberikan insentif lebih kepada syarikat swasta yang meraih keuntungan besar daripada pandemik Covid-19.

"Disebabkan Covid-19, kerajaan terpaksa menghabiskan banyak peruntukan untuk mengurangkan impak Covid-19 dan sebab itu ada pengurangan peruntukan kerajaan untuk sektor sukan.

"Jadi, kita perlu berfikir sebaliknya kalau kita bercakap mengenai Program Rakan Sukan. Mungkin kerajaan boleh memberi insentif lebih besar kepada syarikat yang mendapat keuntungan besar daripada Covid-19.

"Namun, untuk mereka membabitkan diri secara aktif, kita juga rasa pihak kerajaan perlu mencari jalan untuk memberi insentif cukai dan lain-lain kepada sektor swasta. Ia bukan lagi mengenai sama ada perlu diwujudkan semula atau tidak tetapi saya merasakan ia mesti dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM, hari ini.

Beliau berkata, usaha menghidupkan semula Program Rakan Sukan bukanlah bermaksud untuk memberi kemewahan kepada persatuan sukan kebangsaan tetapi bagi membantu menampung kekurangan peruntukan yang diterima daripada kerajaan sekali gus memastikan sukan negara kekal kompetitif.

"MOM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu duduk berbincang bagi melihat berapa jumlah kekurangan yang perlu ditampung dan mengenal pasti persatuan sukan mana yang perlu dibantu.

"Kalau kita lihat JKK (Jawatankuasa Kerja) ia membabitkan 16 sukan tetapi ada banyak lagi persatuan sukan lain dan kita perlu melihat perkara ini secara holistik," katanya.

Program Rakan Sukan diilhamkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Ghani Othman dan dilancarkan pada 1 Ogos 1994. Ia sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menyediakan atlet Malaysia menghadapi Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Disiarkan pada: January 11, 2022 @ 8:36pm
d