Sukan Lain

Faizal imbau detik bersama Shebby

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenali legenda bola sepak negara, Serbegeth 'Shebby' Singh sudah lama ketika beliau menganggotai kelab penyokong bola sepak Perak.

Malah, beliau juga bersama Shebby membawa pasukan MyTeam mengadakan lawatan dan perlawanan persahabatan dengan pelajar serta penduduk Malaysia di Manchester United dalam usaha memberi pendedahan kepada pasukan di peringkat antarabangsa.

Faizal berkata, bekas pemain kebangsaan itu cukup terkenal dengan cadangan dan kritikannya yang bertujuan memastikan bola sepak di negara ini berada di tahap lebih baik.

"Sudah tentu hari ini seluruh negara bersedih dengan pemergian lagenda bola sepak negara iaitu Shebby. Berita ini sangat mengejutkan dan kehilangannya sangat dirasai.

"Saya melihat isteri dan dua anak mendiang cukup kuat. Sudah pasti mereka berasa berbangga dengan pencapaian mendiang untuk negara. Mendiang pernah bermain untuk pasukan Perak pada 1995 dan ketika itu saya dalam kelab penyokong pasukan itu. "Kenangan secara langsung bersama beliau adalah ketika dalam pasukan Myteam, bermain dengan pasukan pilihan Manchester United di Old Trafford. Ketika itu saya bersamanya membawa pasukan," katanya, ketika ditemui selepas memberikan perhormatan terakhir kepada mendiang di pusat pembakaran mayat Jalan Loke Yew di sini.

Turut hadir adalah rakan seperjuangan mendiang antaranya pengurus Sri Pahang FC Dollah Salleh dan jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan.

Disiarkan pada: January 14, 2022 @ 10:55pm
d