Sukan Lain

Nadal bosan isu Djokovic

Oleh AFP

Melbourne: Rafael Nadal memberi tamparan kepada Novak Djokovic ketika pemain nombor satu dunia itu sedang berjuang daripada diusir dari Australia apabila menegaskan Terbuka Australia jauh lebih penting berbanding mana-mana pemain.

Menjelang aksi pembuka tirai Grand Slam, Isnin ini, Nadal memberitahu wartawan di Melbourne Park: "Terbuka Australia tetap hebat dengan atau tanpanya."

Djokovic masih diundi untuk mempertahankan kejuaraan tetapi berdepan dengan pengusiran dari negara itu selepas kerajaan Australia membatalkan visanya buat kali kedua dan menggelarnya sebagai ancaman kepada ketenteraman awam.

Isu membelenggu bintang Serbia yang enggan mengambil vaksin itu membayangi Grand Slam pertama tahun ini di mana Djokovic dan Nadal kedua-duanya cuba untuk muncul pemain pertama memenangi 21 gelaran utama.

Nadal berkata dia menghormati Djokovic sebagai seorang individu dan sudah tentu juga sebagai atlet.

"Saya sangat menghormatinya, walaupun saya tidak bersetuju dengan banyak perkara yang dilakukannya sejak beberapa minggu lalu," katanya.

Dia berkata, kontroversi membabitkan Djokovic itu sudah berlarutan terlalu lama.

"Sejujurnya saya agak bosan dengan situasi itu kerana saya hanya percaya adalah lebih penting untuk bercakap mengenai tenis," kata Nadal.

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 12:58pm
d