Sukan Lain

Pelari SSTMI layak awal ke Sukan Sea Vietnam

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelari muda dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohammad Amirul Arif Mohd Azri mencetuskan sensasi apabila menjadi antara atlet terawal melayakkan diri dalam acara 1,500 meter (m) ke temasya Sukan Sea Vietnam Mei ini.

Melepasi kelayakan bagi kategori A, Amirul merekodkan masa 3 minit 58.74 saat (s) jauh lebih baik daripada pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina, Duong Van Thai dari Vietnam 4:06.63s.

Atlet kelahiran Johor itu melakukannya ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Kebangsaan Disember lalu dengan jurulatihnya, Abdul Radhi Ismail sebenarnya yakin atlet berusia 21 tahun itu mampu merekodkan masa jauh lebih baik lagi.

"Saya memang jangka dia mampu buat masa di bawah empat minit ketika Kejohanan Ujian November lalu. Tapi ada masalah teknikal sedikit ketika itu membuatkan dia gagal untuk melakukannya.

"Dia kemudiannya membuktikan kemampuannya di Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini dan sebenarnya saya jangka dia mampu buat catatan jauh lebih baik kerana ketika dia melakukan 3.58.74s itu dia berlari dalam keadaan hujan," katanya.

Berasal dari Felda Tunggal, Pengerang Johor, pencapaian terbaik Amirul adalah meraih emas di temasya Sukan Malaysia Perak dalam acara 1,500m dan perak di Sukan Remaja Asia Tenggara di Filipina 2017.

Untuk rekod kali terakhir Malaysia meraih emas di Sukan Sea dalam acara 1,500m adalah menerusi Mohd Jironi Riduan pada 2013 di Myanmar dengan rekod kebangsaan acara itu dipegang V Mahendran 3:45.70s dilakukan di Sukan Sea Thailand 2007.

Bagaimanapun ketika ini Amirul masih lagi menjalani latihan seperti biasa di SSTMI kerana tidak berada di bawah program pelapis kebangsaan.

Menurut Radhi, bagi atlet yang ingin diserapkan ke dalam program perlu melalui proses pencalonan nama oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mendapat kelulusan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja.

"Ketika ini nama dia masih belum ada dalam program. Jika diikutkan penjelasan daripada pegawai MSN (Majlis Sukan Negara) hari itu, namanya akan di bawa ke dalam mesyuarat Februari ini.

"Apa yang diberitahu KOM perlu bawa namanya ke MSN untuk disenaraikan dalam program pelapis dan jika mesyuarat luluskan baru dia akan disenaraikan kerana ia perlu mengikut SOP (prosedur operasi standard)," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 1:58pm
d