Sukan Lain

Maria perit atasi pemain Jerman

Oleh AFP

Melbourne: Pilihan kelima Maria Sakkari menewaskan pemain Jerman Tatjana Maria 6-4, 7-6 (7/2) dalam aksi pembukaan Terbuka Australia hari ini sekali gus memberi bayangan mampu mengulangi momentum tahun lalu.

Pemain Greece berusia 26 tahun itu yang mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Perancis pada 2021 diletakkan pilihan dalam kelompok 10 teratas Slam buat kali pertama di Melbourne Park.

Dia bergelut pada awal permainan di Rod Laver Arena tetapi kemudiannya mendahului Tatjana 5-4 dan menamatkan set pertama 44 minit. Lawannya yang menduduki ranking ke-287 itu enggan mengalah dan memaksa Maria bekerja keras sehingga ke tiebreak namun akhirnya menyerah kalah.

"Kita semua tahu betapa sukar pusingan pertama," kata Maria yang turut mara ke separuh akhir Pusingan Akhir WTP tahun lalu.

"Tatjana beraksi sangat baik dan menyukarkan saya. Ini aksi pertama saya dan perlukan masa mendapatkan rentak. Saya juga agak tertekan memulakan kejohanan di stadium indah ini," katanya.

Pemain lain yang turut mara ialah pilihan ke-15 dari Ukraine, Elina Svitolina yang mengatasi cabaran pemain Perancis, Fiona Ferro 6-1, 7-6 (7/4), dan juara Olimpik dari Switzerland, Belinda Bencic yang juga pilihan ke-22 menewaskan Kristina Mladenovic 6-4, 6-3.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 11:20am
d