Sukan Lain

Bekas atlet negara tak tagih simpati

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng yang tular di media sosial baru-baru ini kerana menjual barangan secara kecil-kecilan seperti tisu dan pelitup muka di sekitar Bukit Bintang, mengakui bahawa isunya tidak perlu diperbesarkan.

Menurutnya, isu menjual barangan yang dikongsi seorang pengguna laman sosial, Twitter tidak perlu diperbesarkan tatkala beliau mengakui mempunyai cara hidupnya sendiri.

"Saya tetap bekas atlet negara, perkara ini sudah berlalu. Bagaimanapun, saya tidak boleh salahkan dan tidak mampu berbuat apa-apa jika perkara ini tular. Saya ada kehidupan sendiri dan tidak kacau orang lain," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Beliau yang pernah mengharumkan negara dengan merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak, masing-masing ketika beraksi di temasya Sukan Para Asean dari 2001 hingga 2005 itu, mempersoalkan adakah tindakan menjual barangan di Bukit Bintang satu kesalahan.

"Saya memang panas hati, terutama ada pihak menghubungi saya supaya menghentikan apa yang saya buat. Siapa anda? Anda hendak 'bela' saya. Dalam hidup ini kita kena yakin dengan diri sendiri.

"Saya sudah biasa berdepan dengan masalah ini semua, saya ada pilihan untuk melakukan apa yang saya mahu lakukan, tidak salah pun. Bukan hendak marah tapi geram apabila mendapat panggilan ada yang hendak tolong saya, tapi tak buat apa-apa pun," katanya yang berusia 48 tahun dan pernah tular sebelum ini pada 2019.

Lee Peng yang cacat kedua-dua kaki dan bergerak menggunakan kerusi roda demi mencari rezeki seharian itu berkata, simpati orang ramai bukan sesuatu yang ditagih selain berharap mereka menerima cara dirinya berdikari.

Kisah Lee Peng kembali menjadi bualan apabila seorang pengguna laman sosial Twitter memuatnaik rentetan pertemuannya dengan bekas Olahragawati Paralimpik 2016 itu di Bukit Bintang, baru-baru ini.

Disebabkan itu, ramai mempersoalkan peranan badan berwajib bagi membantu Lee Peng yang pernah mengharumkan negara dengan merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak, masing-masing ketika beraksi di temasya Sukan Para Asean dari 2001 hingga 2005 itu.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 3:08pm
d