Sukan Lain

Azreen wajar berlatih di luar negara

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias, wajar diberikan peluang berlatih di luar negara bagi memantapkan lagi lariannya." Demikian reaksi bekas raja pecut negara dan Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad.

Beliau melihat atlet kelahiran kampung Saujana, Setiu itu mempunyai potensi cerah untuk menjadi wanita terpantas negara dan Asia.

Nazmizan yang kini menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pengajian Tinggi menambah, pelari berusia 22 tahun itu mampu menggegarkan sekurang-kurangnya pentas Asean dan 'mengetuk pintu' Asia jika diberi pendedahan secara berterusan dan sistematik.

"Sudah tiba masanya Azreen dihantar menjalani latihan di luar negara sambil belajar sebagaimana pelumba trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang. Latihan di luar negara itu penting sebagai persiapan menjelang Sukan Asia, Sukan Sea dan Sukan Komanwel, dalam erti kata lain ketika itu usianya semakin matang.

"Selain Azreen, pelari lain juga wajar diberi pendedahan berlatih di luar negara sebagaimana atlet terdahulu bagi meneruskan kesinambungan dalam sukan itu," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut pemerhati sukan itu berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) perlu ada hala tuju dan sasaran realistik kepada atlet berkenaan dan atlet lain yang berpotensi mengharumkan nama negara.

"Selain pentas Asean dan Asia, saya berpandangan jika hantar Azreen menjalani latihan di luar negara ia juga memberi peluang kepadanya mengintai kejayaan di pentas dunia sekali gus mampu mencipta sejarah buat negara.

"Bagaimanapun MSN perlu mencari tempat latihan bersesuaian seperti di Amerika Syarikat (AS), Kanada ataupun Jerman dengan membawa sekali jurulatih dalam tempoh lama dan bukan hanya tiga empat bulan, lagipun tahap pertandingan di sana tinggi berbanding tempat lain.

"Sebagai contoh pengalaman saya berguru di AS lebih tiga bulan, tahapnya terlalu tinggi walaupun kejohanan tempatan, jadi ianya boleh membantu Azreen dan atlet lain untuk bersaing dengan pelari di sana.

"Lagipun Azreen adalah permata berharga dan begitu berbakat, jadi rugi pelari seperti itu jika tidak diasuh dengan sempurna," kata bekas pelari pecut kelahiran kampung Durian Mentangau, Dungun.

Pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun lalu, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu mencetuskan sensasi dalam pusingan kelayakan acara larian 100 meter (m) apabila berjaya merakam catatan masa 11.77 saat (s) sekali gus menamatkan saingan di tempat kedua.

Namun pada pusingan pertama kejohanan terbesar dunia, Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak gagal mengulangi pencapaian itu apabila merakam catatan masa 11.91s.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 2:40pm
d