Sukan Lain

Lebih baik ada stadium daripada tiada langsung - KRM

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Lebih baik ada daripada tiada langsung stadium untuk latihan dan penganjuran kejohanan ragbi.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Amrul Hazarin Hamidon yang melihat perubahan kepada projek pembinaan stadium ragbi yang kemungkinan akan 'hilang' dua padang kelak tidak menjadi masalah buat pasukan negara untuk menjalani latihan.

Beliau berkata, pihaknya memahami ketika ini kekangan bajet yang menyaksikan pembinaan stadium berkenaan meningkat sekali ganda sekali gus menyebabkan beberapa kemudahan terpaksa dilupakan seketika.

Katanya, perkara penting ketika ini adalah pembinaan stadium berkenaan di Putrajaya dapat diteruskan tanpa sebarang masalah seterusnya memberi nilai tambah kepada pasukan negara untuk membuat persiapan rapi.

"Apa yang boleh saya katakan lebih baik ada stadium daripada tiada langsung kemudahan itu yang sememangnya antara perkara yang dinantikan pasukan negara.

"Mungkin kemudahan lain seperti stadium boleh ditambah pada masa akan datang namun perkara penting biar ada asasnya (stadium) dahulu.

"Kekangan bajet yang meningkat hampir sekali ganda menyebabkan pembinaan itu terhenti dan perlu membincangkan kembali apa yang kemudahan utama yang perlu ada dahulu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu KRM menyatakan akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung pemilihan lokasi baharu pusat latihan dan stadium pertandingan bagi skuad negara.

KRM ketika ini menghadapi kekangan peruntukan dan masalah pemilihan lokasi berkenaan antara yang bakal dibangkitkan pihaknya dalam pertemuan itu, malah perkara berkenaan akan turut dipanjangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Isu dana membelenggu pasukan ragbi negara termasuk persiapan Skuad Projek Ragbi 2026 atau dikenali sebagai skuad Bunga Raya 7s yang terpaksa menghentikan seketika program latihan mereka berikutan masalah itu.

Mengikut rekod, skuad Bunga Raya 7s akan menyertai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 15 Sebelah yang dijangka berlangsung pada Mei ini, sebelum mengharungi tiga pusingan kelayakan untuk meraih tempat ke saingan Piala Dunia di Perancis, yang bakal berlangsung bermula 8 September hingga 21 Oktober 2023.

Disiarkan pada: January 29, 2022 @ 8:55pm
d