Sukan Lain

Danielle tetap bangga walaupun tewas

Oleh AFP

Melbourne: Danielle Collins berkata, dia tetap berbangga selepas memberi tekanan kepada pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty dalam perlawanan akhir Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia hari ini.

Pemain pilihan ke-27 dari Amerika Syarikat itu ternyata sangat kerdil menentang pilihan utama namun tidak disangka berjaya mendahului 5-1 di set kedua dan hampir mengheret saingan ke set penentuan.

Bagaimanapun, Ashleigh kembali bangkit, memenangi empat permainan berturut-turut untuk membawa aksi ke peringkat tiebreak dan menang 6-3, 7-6 (7/2) bagi menghalang hajat lawannya yang berusia 28 tahun.

"Bukan keputusan yang saya mahukan tapi saya sudah berikan aksi terbaik. Saya berikan segala yang termampu. Saya memaksa diri untuk beri pada tahap maksimum dan mendapat peluang di hujung saingan.

"Malang sekali ia tidak berjaya seperti diharapkan namun saya sudah buat sedaya termampu dan itu saja yang dicapai sehingga hari terakhir," kata Danielle.

Walaupun kalah, Danielle dijangka berjaya melonjak ke kelompok 10 terbaik buat kali pertama apabila ranking terbaru dikeluarkan minggu depan.

Disiarkan pada: January 29, 2022 @ 10:46pm
d