Sukan Lain

Nadal tabik Federer, Djokovic [METROTV]

Oleh Reuters

Melbourne: Rafael Nadal berkata dia bertuah kerana berada pada era tenis yang disertai Roger Federer dan Novak Djokovic selepas sensasi Sepanyol itu mencipta sejarah memenangi Grand Slam ke-21 di Terbuka Australia sekali gus mengatasi rekod dua seteru utamanya itu.

Nadal bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Daniil Medvedev 2-6 6-7(5) 6-4 6-4 7-5 pada pertemuan epik, Ahad lalu, hanya beberapa bulan berdepan kebimbangan karier gemilangnya mungkin berakhir selepas mengalami kecederaan kaki kiri.

Dia memberi penghormatan kepada Federer yang terlepas beraksi pada Grand Slam pertama tahun ini kerana meneruskan proses pemulihan susulan pembedahan lutut serta Djokovic yang diusir dari Australia kerana tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Pada akhirnya, ia hanyalah satu permainan dan kami mencapai lebih daripada apa yang pernah kami impikan semasa zaman kanak-kanak.

"Tidak mengapa jika seseorang itu meraih 21 (gelaran), 20 atau seorang lagi 23.

"Saya rasa kami sudah melakukan perkara yang paling penting dalam sukan ini dan kami memenuhi impian kami serta menikmatinya.

"Saya rasa amat bertuah berada dalam era ini yang sangat istimewa bagi sukan ini," katanya.

Pemain berusia 35 tahun itu yang menarik diri daripada menyertai Wimbledon, Olimpik Tokyo serta Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2021 dan hanya beraksi pada perlawanan kompetitif bulan lalu berkata, kepuasan memenangi Terbuka Australia buat kali kedua sangat sukar untuk digambarkan.

"Ia sangat menakjubkan dapat memenangi trofi ini. Saya sentiasa bekerja keras sepanjang karier saya apabila beraksi di Terbuka Australia," katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2022 @ 11:46am
d