Sukan Lain

Nauraj makin selesa di Eropah

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet lompat tinggi negara berada di landasan yang tepat untuk mempertahankan emas yang di dominasi sejak era Loo Kum Zee apabila pemegang rekod kebangsaan Nauraj Singh menunjukkan peningkatan memberangsangkan di awal musim.

Dua tahun lalu di Sukan Sea Filipina, Nauraj yang mempunyai catatan terbaik 2.30 meter (m) terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas kepada Lee Hup Wei menerusi kiraan semula selepas kedua-duanya mencatatkan ketinggian yang sama.

Nauraj kini tampak bersedia untuk kembali merampas emas itu daripada rakan senegara Hup Wei selepas dua kali berjaya memecahkan rekod dalam acara berkenaan di kejohanan dalam dewan Hvezdy v Nehvizdech yang diadakan di Tipsport Arena di Prague, Republik Czech, Ahad lalu.

Dia yang pernah beraksi di Olimpik London itu mencatatkan rekod baru dalam dewan dengan ketinggian 2.27m ketika meraih tempat kedua di Republik Czech, Ahad lalu.

Kejayaan itu memadam rekod lama yang dilakukan Nauraj tiga hari sebelum itu dengan catatan 2.22m dalam kejohanan Dalam Dewan Kladno pada 27 Januari lalu.

"Ia satu pengalaman yang berharga bagi saya. Walaupun ia bukan trek kegemaran saya ia menjadikan pengalaman satu kelebihan selepas tiga kali bertanding di kejohanan ini.

"Penampilan kali ketiga di kejohanan ini membuatkan saya lebih tenang dan saya gembira apabila catatan 2.27m (rekod peribadi terbaik dalam dewan)," katanya.

Catatan 2.22m yang dilakarkan itu mengesahkan tempat ke temasya Sukan Sea Hanoi yang akan bermula 12 hingga 23 Mei depan.

Sebagai rekod, Nauraj yang memiliki catatan peribadi terbaik 2.30m yang juga rekod kebangsaan sudah tiga kali memenangi emas Sukan SEA bermula edisi 2013 di Naypydiaw, 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur.

Setakat ini seramai 10 atlet sudah mengesahkan tempat ke temasya Sukan Sea dan mereka terdiri atlet baling tukul besi Jackie Wong; Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera); Mohd Iskandar Alwi (lompat bergalah); Mohammad Amirul Arif Mohd Azri (1,500 meter) serta Muhammad Zulfiqar Ismail dan Russel Alexander Nasir Taib (pelari pecut).

Bagi kategori wanita pula, atlet baling tukul, besi Grace Wong serta atlet lempar cakera Queenie Ting dan Choo Kang Ni juga melepasi had kelayakan menerusi kejohanan baru-baru ini.

Disiarkan pada: February 2, 2022 @ 4:27pm
d