Sukan Lain

Nadal, Federer kembali bergandingan di Piala Laver

Oleh Reuters

London: Peminat sukan tenis berpeluang menyaksikan sekali lagi Rafael Nadal dan Roger Federer bergandingan bersama selepas penganjur Piala Laver mengumumkan kedua-dua pemain itu akan berada dalam skuad Eropah untuk berdepan Pilihan Dunia tahun ini.

Nadal mencipta sejarah Ahad lalu selepas menumpaskan wakil Russia, Daniil Medvedev di Terbuka Australia untuk meraih trofi Grand Slam ke-21 dan memiliki satu kejuaraan mengatasi Federer serta Novak Djokovic selepas kedua-duanya tidak mengambil bahagian di Melbourne.

Nadal, yang dua kali beraksi di Piala Laver, bergandingan buat pertama kali dengan Federer dan beraksi dalam satu-satunya perlawanan beregu pada aksi sulung kejohanan itu di Prague 2017.

"Saya mencadangkan kepada Roger kami sepatutnya bergandingan bersama di London dan dia kelihatan bersetuju, jadi sekarang kami hanya perlu meyakinkan ketua pasukan Bjorn (Borg).

"Roger menjadi sebahagian besar dalam karier saya, seteru utama dan juga sahabat sejati.

"Menjadi sebahagian daripada pasukan Eropah bersama-sama adalah sesuatu yang hebat dan jika kami dapat berkongsi gelanggang sekali lagi untuk perlawanan beregu ia akan menjadi pengalaman istimewa buat kami berdua ketika di peringkat ini dalam karier kami," kata Nadal.

Federer tidak turun beraksi sejak tersingkir di suku akhir Wimbledon tahun lalu sebelum menjalani pembedahan lutut buat kali ketiga, namun pemain Switzerland itu berazam untuk kembali April atau Mei depan.

Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 11:20pm
d