Sukan Lain

Jacobs kembali gegar trek

Oleh AFP

Berlin: Pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukan Olimpik, Lamont Marcell Jacobs kembali beraksi dengan memenangi acara 60m di kejohanan dalam dewan dekat Berlin, hari ini.

Pelari pecut Itali itu menang dengan catatan masa 6.51 saat (s) pada penampilan pertamanya sejak melakar kejutan di Sukan Olimpik Tokyo dengan memenangi acara 100m, Ogos tahun lalu.

Jacobs yang juga juara Eropah acara 60m sebelum ini berkata, dia hanya mahu melakar kemenangan apabila beraksi di Berlin.

Dia mengotakan janjinya itu apabila menewaskan pelari Ivory Coast, Arthur Cisse (6.60s) dan Jimmy Vicaut dari Perancis (6.61s).

"Saya sangat gembira dapat memperoleh keyakinan semula pada saingan pertama.

"Saya harap dapat berlari lebih pantas tetapi selepas sekian lama tidak beraksi, adalah sesuatu yang normal untuk mendapatkan rentak sebenar," katanya.

Atlet berusia 27 tahun itu tidak menyertai mana-mana pertandingan sejak memenangi dua emas menerusi acara 100m dan 4x100m di Jepun selain berdepan persoalan mengenai kemenangan mengejutkan di Olimpik.

"Sebagai atlet saya tidak akan melakukan sesuatu yang akan mencemarkan nama baik saya atau negara," kata Jacobs kepada Daily Telegraph ketika ditemuramah minggu lalu.

Disiarkan pada: February 5, 2022 @ 8:57am
d