Sukan Lain

Zuraidin mahu beri nafas baru kepada PSM

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Calon jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Zuraidin Abdullah mahu memberi nafas baharu sekiranya terpilih menggalas tugas kerusi nombor satu badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 12 Februari.

Jelas Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) itu, nafas baharu yang dimaksudkan adalah penjenamaan semula PSM agar ia menjadi persatuan yang lebih berdaya saing dan tidak terlalu mengharapkan kepada dana kerajaan.

"Ini satu penjenamaan semula. Kita nak tengok peminat kita ini semuanya memberikan pandangan masing-masing, jadi penting untuk adanya penjenamaan semula.

"Seperti jualan produk, bila sudah lama, kita perlu melakukan penjenamaan semula. Untuk mengurus dan membawa masuk program, kita akan bawa tenaga baharu ini. Sebenarnya ramai tenaga baharu ini, cuma sebelum ini tidak digunakan.

"Persatuan juga kena ada duit dan tidak boleh mengharapkan dana daripada kerajaan saja. Jadi kita kena ada satu jawatankuasa yang boleh membawa dana kepada persatuan, kalau tidak nanti, mungkin program kita akan terbantut," katanya yang menjadi individu pertama mengesahkan pertandingan jawatan nombor satu itu.

Jelas Zuraidin lagi, beliau akan sentiasa membuka 'pintu' kepada semua pihak untuk mengemukakan pandangan demi melihat sukan sepak takraw terus berkembang.

Ahli Majlis Tertinggi PSM sebelum ini memuktamadkan tarikh AGM berkenaan pada 12 Februari dengan lokasinya di Kuala Lumpur.

Ia akan menjadi pentas pemilihan baharu pucuk pimpinan persatuan itu terutama jawatan presiden selepas Datuk Seri Ahmad Ismail meletak jawatannya Jun tahun lalu.

Tarikh tutup pencalonan bagi barisan baharu PSM akan datang dijadual ditutup pada jam 12 tengahari esok.

Disiarkan pada: February 5, 2022 @ 8:53pm
d