Sukan Lain

Pemain skuasy negara terkandas di separuh akhir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hasrat untuk mencipta kejutan awal 2022 terbantut buat pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari apabila terkandas di separuh akhir kejohanan Piala Cincinnati Gaynor 2022.

Pemain negara itu tewas kepada pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Olivia Fiechter sekali gus terlepas peluang untuk meraih tiket ke final kejohanan.

Perlawanan yang berlangsung di Cincinnati Country Club itu menyaksikan Sivasingari tewas 2-3 (11-4, 3-11, 11-6, 16-18, 9-11) di tangan Fiechter yang juga pemain ke-11 dunia.

Menurut Sivasingari, lawannya itu mempamerkan aksi cukup konsisten sekali gus cukup sukar untuk menyekat kemaraan pemain terbabit.

"Dia bermain dengan baik sejak kebelakangan ini, jadi ia menjadi satu perlawanan yang sengit. Tahniah kepadanya dan saya menikmati perlawanan ini," katanya.

"Ini kali kedua (menyertai kejohanan selepas 2018). Satu kejohanan yang hebat dan saya berharap akan kembali lagi di sini tahun depan," katanya.

Menurutnya, pertemuan itu adalah yang pertama buat kedua-dua pemain namun dia akan tetap bersemangat selain berazam untuk tampil semula di edisi seterusnya.

Mengikut rekod, pada penyertaan empat tahun lalu, pemain dari Sungai Petani, Kedah itu tewas Mariam Metwally 2-3 (5-11, 11-9, 11-9, 10-12, 10-12) di pusingan pertama.

Pada aksi suku akhir sebelum ini, pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu mudah membenam cabaran pemain ranking ke-23 dunia Tinne Gilis dari Belgium, dengan meraih kemenangan bersih 3-0.

Terdahulu, dua lagi wakil negara Aifa Azman dan Rachel Arnold menamatkan saingan lebih awal, selepas masing-masing terkandas di pusingan pertama dan kedua kejohanan itu.

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 4:48pm
d