Sukan Lain

Aruwin bertatih ski di pusat jagaan harian

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Semuanya bermula apabila ibu bapa Aruwin Salehhuddin meninggalkannya di pusat jagaan harian berdekatan pusat peranginan ski ketika pasangan suami isteri itu beriadah mendaki gunung hampir 16 tahun lalu.

Aruwin, yang akan menyambut hari lahir ke-18 Isnin depan, ketika itu baru berusia dua tahun apabila minatnya terhadap ski mula berputik kerana di pusat jagaan itu, dia turut diberi peluang berjinak-jinak dengan sukan ski.

"Semasa saya berumur dua tahun, ibu bapa saya suka pergi ke kawasan pergunungan. Mereka akan menghantar saya ke pusat jagaan harian dekat resort dan bermain ski bersama-sama.

"Ada kalanya pusat jagaan harian itu akan membawa kanak-kanak bermain ski dan saya terus tertarik dengannya hingga ke hari ini," kata Aruwin, yang melakar sejarah muncul Olimpian wanita pertama negara bersaing pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Tidak hairan juga bapanya Salehhuddin Ayob, yang pernah mewakili negara dalam acara kenu pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan ibunya Siti Alphiah Tunggal tidak membantah malah membenarkan anak perempuan mereka memilih untuk menjadi peluncur ski profesional empat tahun lalu.

"Saya berusia kira-kira 13 tahun ketika saya memutuskan untuk menceburi sukan ini secara profesional. Apabila saya mengetahui Ski Malaysia wujud, saya lagi teruja dan benar-benar mahu melakukannya. Saya mahu terbabit secara profesional dan ia pasti satu pengalaman yang hebat untuk melakukannya," katanya dalam satu wawancara sebuah portal di laman YouTube.

"Saya sangat menyukai sukan ini. Saya berasa amat bebas apabila melakukannya dan amat menyeronokkan apabila anda menuruni bukit dengan kelajuan maksimum," katanya.

Aruwin juga menceritakan dia pernah tergamam apabila seseorang mendapat tahu dia berbangsa Melayu namun tidak mengetahui di mana letaknya Malaysia.

"Mereka bertanya kepada saya mengapa saya kelihatan seperti wajah Asia? Adakah Malaysia terletak di China? Saya tidak tahu langsung bagaimana untuk menjawabnya.

"Ada juga rakan perempuan yang bertanya kepada saya, 'oh, anda dari mana?', 'oh, anda dari Malaysia!', 'anda orang Malaysia', 'anda bermain ski untuk Malaysia', 'bagaimana rasanya?'

"Aruwin, yang menetap di Colorado Springs, Colorado, Amerika Syarikat sejak tujuh tahun lalu, bertanding dalam acara slalom dan giant slalom dan kini di bawah tunjuk ajar jurulatih peribadi Mladen Bezjak dari Croatia.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 5:01pm
d