Sukan Lain

Latif belanja rakan dapat Datuk

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly tidak melupakan rakan seperjuangannya selepas dia dianugerah gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Paralimpian berusia 24 tahun itu mengajak rakan atlet para termasuk jaguh lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli makan malam bersama di sebuah restoran di ibu negara malam tadi.

Dalam satu perkongsian dimuat naik Ziyad dalam laman Instagram, turut memeriahkan majlis makan malam selain mengeratkan ukhuwah persahabatan sesama mereka termasuk pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Nasharuddin Mohd (400m T20), Afiq Ali Hanafiah (100m T12), Muhamad Ashraf Muhammad Haisham (1,500m T46), Mohamad Aliff Mohamad Awi (lontar peluru F20), Mohamad Faizal Aideal Suhaimi (100m T12) dan Eddy Bernard (100m T37, lompat jauh T22).

"Tahniah kepada sahabat saya Datuk @latifromly dan terima kasih belanja sahabat seperjuangan makan... semoga terus dilimpahi rezeki," tulis Ziyad ringkas bersama sekeping gambar mereka berlapan makan malam bersama.

Latif menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada majlis istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara, semalam.

Atlet berasal dari Kampung Paya Kelubi, Arau, Perlis itu meraih pingat emas lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tahun lalu sekali gus mempertahankan gelaran dimenanginya pada temasya Rio 2016.

Dia turut meraih dua pingat emas Kejohanan Para Dunia di Doha 2015 dan London 2017, emas Sukan Para Asia Incheon 2014 dan Jakarta 2018 serta tiga emas Sukan Para Asean di Naypyidaw 2014, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Latif sebelum ini menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada 2017 susulan kejayaannya memecah rekod dunia tiga kali dalam laluan merangkul emas di Rio 2016.

Di dalam ruangan komen, ada beberapa peminat dan warganet yang mengusik Ziyad apabila menyatakan selepas ini giliran pemenang acara lontar peluru F20 temasya Rio 2016 itu menerima anugerah Datuk.

Ziyad terbabit dengan kontroversi apabila kemenangannya pada Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan penganjur selepas didapati tiba lewat di bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.

Disiarkan pada: February 9, 2022 @ 9:39pm
d