Sukan Lain

Sumali anggap Zuraidin berjiwa besar

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Datuk Mohd Sumali Reduan menghargai sifat berjiwa besar yang ditunjukkan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah apabila menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Mohd Sumali kini tidak perlu bertanding jawatan paling penting itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung esok sekali gus bakal menerajui PSM bagi penggal 2022/2025.

"Ini adalah satu pengorbanan yang besar daripada YB Zuraidin dan membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar. Atas semangat setiakawan dan keluarga PSM, tiada pertandingan bagi semua peringkat," katanya.

Selain jawatan presiden, AGM esok juga menyaksikan tiada pertandingan untuk jawatan timbalan presiden serta naib presiden.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh dalam satu kenyataan semalam berkata, dua jawatan timbalan presiden bakal diisi oleh Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan manakala tiga jawatan naib presiden akan disandang Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Datuk Awang Sham Amit dan Datuk Abu Jimi Samat.

Sementara itu, Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) berkata, beliau akan membentangkan hala tuju kepimpinan baharu badan induk itu selepas AGM esok.

"Selepas AGM kami akan adakan sidang media dan saya akan jelaskan serba sedikit mengenai perancangan dan hala tuju kepimpinan baharu untuk sukan sepak takraw negara. Saya juga sedar ramai yang ingin tahu pendirian saya mengenai isu semasa yang melanda PSM.

"Insya-Allah, selepas AGM saya akan jelaskan termasuklah yang berkaitan dengan kenyataan Pesuruhjaya Sukan (Ibrahim Mohd Yusof) baru-baru ini," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2022 @ 7:07pm
d