Sukan Lain

Kes Kamila satu kegagalan memerangi doping

Oleh AFP

Los Angeles: Skandal dadah yang membabitkan atlet skate Rusia, Kamila Valieva ketika temasya Olimpik musim sejuk menandakan 'kegagalan besar' dalam usaha memerangi doping, kata ketua Agensi Doping Amerika Syarikat, Travis Tygart.

Kamila yang memainkan peranan utama membantu Rusia meraih emas di Beijing pada Isnin lalu, diuji positif bahan terlarang trimetazidine selepas menyertai pertandingan di Saint Petersburg pada 25 Disember.

Bagaimanapun Agensi Ujian Antarabangsa dalam kenyataan berkata, ujian makmal di Stockholm hanya melaporkan mengenai ujian positif Kamila pada 8 Februari, sehari selepas dia beraksi di Beijing.

Tygart mempersoalkan bagaimana keputusan itu mengambil masa hampir enam minggu untuk sampel positif Kamila diketahui.

"Kegagalan melaporkan ujian yang diambil pada Disember sehingga selepas acara berpasukan di temasya besar itu adalah kegagalan besar sistem untuk melindungi orang ramai, integriti sukan dan atlet bersih yang bersaing," kata Tygart

"Ia tidak patut terjadi."

Tygart berkata pihak berkuasa AS dan beberapa negara lain secara rutinnya mempercepatkan ujian untuk atlet kerana menyertai kejohanan besar, secara tepatnya untuk mengelakkan situasi seperti apa yang terjadi kepada Kamila.

"Kami berjaga sepanjang waktu malam untuk memastikan orang yang kami hantar ke Sukan Olimpik atau kejohanan besar, bahawa sebarang ujian yang kami lakukan kepada mereka mempunyai keputusan," kata Tygart.

Disiarkan pada: February 12, 2022 @ 11:24am
d