Sukan Lain

TSG ungguli Tour of Antalya

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pasukan berbasikal bertaraf benua Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mengharumkan nama negara sekali lagi apabila muncul juara keseluruhan pada perlumbaan Tour of Antalya di Turki yang berakhir malam tadi.

Sekalipun tampil kali pertama pada perlumbaan empat peringkat sejauh 458.6 kilometer itu, TSG membuktikan mereka pasukan yang perlu disegani apabila muncul juara kategori berpasukan dengan catatan masa 43 jam 10 minit 20 saat, mengatasi pasukan di tangga kedua Drone Hopper-Androni Giocattoli dengan perbezaan hanya lima saat.

Lawan dari Itali itu bertaraf Pro Road Tour (PRT) manakala satu lagi pasukan bertaraf benua Leopard Pro Cycling berpangkalan di Belanda menghuni tangga ketiga, 52 saat di belakang TSG pada perlumbaan kategori 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Empat hari perlumbaan yang sungguh menakjubkan. Kami mengakhiri kempen perlumbaan @tourofantalya sebagai pasukan terbaik keseluruhan jelajah," tulis TSG dalam perkongsian di laman Instagram.

"Terima kasih kepada penganjur perlumbaan kerana acara yang berjalan lancar serta layanan mengagumkan. Ini penampilan pertama kami dan kami harap dapat bertemu anda sekali lagi! Kepada penaja, penyokong, rakan dan keluarga... kami melakukannya!! Melakar sejarah bersama!" menurut catatan itu lagi.

Lebih menarik, dua pelumba pasukan itu Anatolii Budiak dari Ukraine (kesembilan) dan Metkel Eyob dari Eritrea (ke-10) berada dalam kelompok 10 teratas kedudukan keseluruhan bagi jersi kuning manakala pelumba TSG dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar ke-11.

Tiga lagi pelumba Jamal Hibatullah dari Indonesia (47), Mohd Shahrul Mat Amin (67), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (102) manakala Muhammad Nor Aiman Mohd Zariff gagal menamatkan perlumbaan peringkat kedua.

"Syukur alhamdulillah @tourofantalya 2022 memberi kejayaan kepada team TSG," tulis Nur Amirul dalam laman Instagram miliknya.

Kebangkitan TSG bermula pada peringkat ketiga kelmarin apabila Budiak, yang baru menyertai pasukan itu tahun ini, Sainbayar dan Eyob masing-masing menduduki tangga kelapan, 10 dan 11 sekali gus menyaksikan pasukan itu melonjak dari tangga ke-18 selepas peringkat kedua ke tangga teratas.

Sebanyak 23 pasukan menyertai perlumbaan itu 10 daripadanya PRT, 12 pasukan bertaraf benua dan satu pasukan kebangsaan.

Pada Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu awal bulan ini, TSG turut muncul juara berpasukan keseluruhan menerusi penampilan Sainbayar, Irwandie Lakasek, Budiak, Mohd Zamri Saleh, Wan Abdul Rahman Hamdan dan Nur Amirul.

Budiak turut menjejak podium pada perlumbaan sehari Grand Prix Alanya di Turki pada 5 Februari lalu apabila dia berakhir di tangga ketiga.

Selepas ini, TSG dijadualkan menyertai Tour du Rwanda dari 20-27 Februari, satu lagi perlumbaan kategori 2.1 UCI.

Disiarkan pada: February 14, 2022 @ 11:51am
d