Sukan Lain

Kucing kesayangan bakar semangat Jihin menang di Singapura

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Berdepan atlet seni bela diri campuran (MMA) veteran yang kaya dengan pengalaman bukan tugas mudah buat Hayatun Najihin Radzuan namun dia berjaya memperoleh kekuatan luar biasa apabila sebelum perlawanan mendapat panggilan daripada orang tidak dikenali bahawa kucing kesayangannya yang hampir dua bulan hilang sudah ditemui.

Hayatun Najihin yang senang dengan panggilan 'Jihin' berkata, dia mendapat panggilan berkenaan ketika dalam perjalanan ke stadium untuk berdepan dengan Mei Yamaguchi dari Jepun di Kejohanan ONE: Bad Blood.

"Memang saya dalam keadaan penuh yakin ketika dalam perjalanan ke stadium (di Singapura). Selepas dapat pula panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali memberitahu sudah jumpa kucing saya yang hilang itu, jadi saya lagi bersemangat kerana memperoleh berita gembira," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurutnya, kucing yang diberi nama 'Clover' itu adalah kucing biasa namun disebabkan 'kurang upaya' membuatkan dia sangat tersentuh dan bersemangat apabila sudah ditemui.

Jihin atau nama gelaran 'The Shadow Cat' berjaya menewaskan Mei menerusi 'unanimous decision' (keputusan sebulat suara) selepas tiga pusingan.

"Sebelum perlawanan saya memang tidak gementar. Ini kerana saya seorang yang susah untuk mempunyai perasaan seperti itu, saya rasa takut pula kenapa saya tidak gementar seperti orang lain sebelum turun ke gelanggang. Mungkin disebabkan dalam latihan saya berjaya memberikan yang terbaik dan tanpa sebarang kecederaan serta sering beraksi cemerlang di kem pra perlawanan membuatkan saya bertambah yakin.

"Lawan saya itu bukan calang-calang, boleh dikirakan sebagai otai dalam MMA, ia juga membuatkan saya rasa bersemangat kerana berpeluang menguji kekuatan dengan atlet veteran. Memang ketika itu fokus saya hanya ke arah kemenangan.

"Ini kali pertama saya berdepan dengannya dan reputasinya luar biasa kerana pernah dia pernah bertarung sebanyak dua kali untuk merebut tali pinggang dan bekas juara dunia di organisasi yang lain.

"Mei sudah lama terkenal dalam sukan ini, bayangkan sejak saya di bangku sekolah dia sudah mula aktif dalam MMA (2006), jadi saya rasa bersyukur dapat kalahkan atlet veteran berusia 39 tahun ini," katanya yang akan mewakili negara di Sukan Sea Vietnam tahun ini dalam acara kickboxing.

Dengan kemenangan terbaharu ini, Hayatun Najihin kini mempunyai rekod profesional MMA sebanyak tujuh kemenangan dan dua kekalahan (7-2) dan ia adalah kemenangan kali kedua berturut-turut sejak pandemik Covid-19 melanda.

Kali terakhir atlet berusia 24 tahun ini bertarung ialah pada Disember 2020, di mana dia berjaya mengalahkan petarung Amerika Syarikat, Bi Nguyen juga menerusi keputusan sebulat suara.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 11:44am
d