Sukan Lain

Peluang Jeffrey serlah kemampuan

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Atlet ski alpine negara, Jeffrey Webb sudah bersedia sepenuhnya bagi memulakan aksi dalam acara slalom lelaki di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, esok.

Menurut pengurus pasukan, Salehhuddin Ayob, sasaran buat atlet berusia 24 tahun itu adalah untuk menamatkan saingan pada aksi yang akan berlangsung Pusat Alpine Skiing Nasional Yanging itu.

"Kami berharap dia akan mempamerkan prestasi terbaik dan menunjukkan kemampuan sebenarnya. Bagi acara slalom, sukar untuk kita membuat ramalan kerana ia berlaku sangat pantas dan jumlah atlet yang gagal menamatkan saingan mungkin tinggi seperti mana kita dapat lihat dalam saingan wanita," katanya.

Menurut Salehhuddin, sasaran mereka untuk melihat Jeffrey menamatkan saingan dan yakin atlet kelahiran Selangor itu akan melakukan yang terbaik bagi mencapainya.

Ini penampilan kedua Jeffrey di temasya terbesar musim sejuk itu selepas mencipta sejarah menjadi antara dua atlet Malaysia yang pertama selain peluncur ais, Julian Yee beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

Di Pyeongchang, Jeffrey menamatkan aksi di kedudukan ke-68 bagi acara giant slalom namun tidak berjaya menamatkan saingan slalom lelaki.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 7:07pm
d