Sukan Lain

Jaguh dart sertai tinju

Oleh Agensi

London: Bekas juara dunia dart, Gerwyn Price dijangka bersedia melakukan penampilan dalam tinju tidak lama lagi.

Price beraksi dalam liga ragbi profesional sebelum beralih kepada dart mengumumkan dia akan tampil pada pertarungan pertama 9 April depan di negara kelahirannya Wales.

Atlet berusia 36 tahun itu mendedahkan di Instagram story bahawa dia akan berdepan Rhys 'Cool Fly & Flashy' Evans di Valley Tavern dekat Fleur De Lys.

Price mengakui dia terpaksa menurunkan berat badannya sebelum pertarungan, dengan menulis diciapannya : 'Perlu mengurangkan 10kg untuk ini.'

Price menjadi atlet Wales pertama memenangi Kejuaraan Dunia PDC pada 2021 apabila menewaskan pemain Scotland, Gary Anderson 7-3 pada final di Alexandra Palace.

Dia mara ke suku akhir untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dan berjaya menamatkan sembilan dart menentang Michael Smith, namun tewas 5-4 pada perlawanan itu.

Price membuktikan dia atlet serba boleh ketika keutamaannya adalah pada karier dart. Dia beraksi buat Divisyen Perdana Wales, Neath and Cross Keys begitu juga South Wales Scorpions dalam liga ragbi.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 12:56pm
d