Sukan Lain

MSC serah permohonan kepada Astaf Isnin depan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) akan menghantar permohonan untuk menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Isnin ini.

Entiti sepak takraw baharu itu mengadakan Mesyuarat Agung pertamanya hari ini ketika mereka membuat persediaan untuk menjadi persatuan sepak takraw kebangsaan.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) iaitu badan kebangsaan sebelum ini disingkirkan oleh Astaf pada Mei tahun lalu berikutan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Di sebalik penstrukturan semula oleh PSM, Astaf kekal enggan menerima PSM sebagai ahli gabungan dan penubuhan MSC kemudian diluluskan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, terpulang kepada ASTAF untuk memutuskan sama ada mereka mahu menerima MSC atau PSM sebagai ahli mereka.

"Kami akan menghantar permohonan untuk menjadi ahli Astaf pada hari Isnin.

"Kami mendapat kelulusan PPS, begitu juga PSM. Jadi sekarang biar Astaf putuskan. Kalau Astaf ambil keputusan terima PSM, kita akan bubar. Isunya Astaf tak terima PSM dan sebab itu MSC ditubuhkan.

"Kami di sini bukan untuk melawan sesiapa, kami di sini untuk sukan sepak takraw dan tiada masalah memberi laluan sekiranya tidak diiktiraf oleh Astaf. Kami juga terbuka untuk menerima ahli PSM menyertai kami," kata Suhaili selepas Mesyuarat Agung pertama MSC, hari ini.

Enam ahli gabungan menyertai MSC ketika ini ialah Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya, Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis, Persatuan Sepak Takraw Kedah dan Persekutuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 6:42pm
d