Sukan Lain

Bernal mahu sertai Tour de France semula

Oleh AFP

Bogota: Egan Bernal percaya dia mampu bangkit semula daripada insiden kemalangan yang menyebabkannya patah 18 tulang dan mahu beraksi sekali lagi di Tour de France.

Bekas pemenang Tour de France dari Colombia itu merempuh bas semasa sesi latihan berhampiran Bogota pada 24 Januari lalu.

"Dalam tempoh sesaat saya mungkin kehilangan nyawa sepenuhnya," katanya dalam satu temuramah.

Bernal memberitahu majalah Colombia, Semana yang dia mahu kembali kepada tahap terbaik selepas keluar dari hospital pada 7 Februari lalu.

"Saya mahu kembali ke tahap terbaik. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya fikir boleh melakukannya dengan cepat.

"Saya tidak tahu sama ada akan mencapai tahap untuk memenangi Tour de France sekali lagi, kerana ia agak sukar apabila seseorang itu tidak cergas 100 peratus.

"Tetapi saya mahu menjadi seorang Egan Bernal yang terbaik.

"Saya tidak tahu sama ada ia akan mengambil masa setahun, sepuluh tahun, enam bulan atau tiga bulan," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2022 @ 10:06am
d