Sukan Lain

Ahmad Faizal seru orang ramai guna kemudahan PPSN

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyarankan agar orang ramai dan juga atlet luar menggunakan kemudahan Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) yang memiliki fasiliti bertaraf dunia.

Menurut beliau, dengan pelancaran PPSN 2.0 ia boleh menggalakkan orang ramai dan atlet luar ke Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan perkhidmatan untuk tingkatkan prestasi termasuk juga menjaga kesihatan diri serta mengubati kecederaan.

"Saya berbangga dengan pencapaian dibuat ISN dengan fasiliti bertaraf dunia, saya galakkan orang ramai termasuk atlet daripada luar juga untuk menggunakan fasiliti yang ada.

"Perkara ini penting juga buat ISN menjana pendapatan untuk jangka masa panjang. Saya bersyukur kerana ini satu usaha dibuat mereka bagi tidak terlalu bergantung kepada peruntukkan kerajaan semata-mata.

"ISN berusaha untuk dapatkan pendapatan dalam masa sama meneruskan usaha meningkatkan prestasi atlet negara," kata Ahmad Faizal selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KBS di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

PPSN 2.0 ini yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Sports Performance X (SPX) dan FitMalaysia X (FMX) yang memberi nafas baru dalam ekosistem sukan negara dengan membuka peluang kepada kumpulan sasaran untuk menikmati perkhidmatan sains sukan berbayar bertaraf dunia.

Selain berfungsi dalam merancakkan industri sukan negara, pelaksanaan PPSN 2.0 ini berpotensi memberi nilai tambah dalam penjanaan dana ISN untuk jangka masa panjang. 

"Berteraskan kepada pengalaman yang luas dalam bidang sains sukan bersama atlet-atlet elit negara, PPSN 2.0 ini menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan sains sukan seperti fisiologi senam, pemakanan sukan, psikologi sukan, suaian fizikal, analisis prestasi dan biomekanik.

"Selain daripada itu, PPSN 2.0 juga menawarkan perkhidmatan pendidikan sains sukan (konsultasi) seperti perkhidmatan Konsultasi Intervensi Spesifik dan Pengujian; perkhidmatan Perancangan Persediaan Pelan Perkhidmatan Prestasi Tinggi, Perkhidmatan Liputan semasa kejohanan dan latihan serta lain-lain yang berkaitan," kata Ahmad Faizal.

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 6:56pm
d