Sukan Lain

KL ambil tempat Johor anjur Sukma 2022

Oleh Syazwan Msar

Putrajaya: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bakal sibuk pada tahun ini apabila akan mengambil alih 'tugas' Johor bagi mengadakan Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Jemaah Menteri bersetuju Sukma dilaksanakan di Kuala Lumpur berikutan Johor memohon untuk penangguhan penganjuran sukan berkenaan.

"Ini memandangkan penganjuran Sukma dan Para Sukma 2022 perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten supaya negara tidak ketandusan atlet yang bakal menggantikan atlet di peringkat kebangsaan pada masa depan.

"Kami sedar sekiranya Sukma tidak dilaksanakan pada 2022, ini bermakna tiada kesinambungan program dalam tempoh empat tahun dari tarikh Sukma terakhir pada 2018," katanya.

Selain itu, beliau berkata Sukma bakal dilangsungkan menerusi kaedah gelembung sukan bagi memastikan keselamatan atlet dan pegawai sukan lebih terjamin.

"Ini bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet, pegawai serta semua yang terbabit sentiasa terjaga. Dianggarkan lebih kurang 12,000 orang akan terbabit dalam temasya kali ini.

"Penganjuran dibuat secara berfasa iaitu dua fasa untuk Sukma dan Para Sukma dilaksanakan secara berasingan bagi memastikan bilangan atlet serta pegawai terbabit pada sesuatu masa itu tidak terlalu ramai.

"Ini bagi membolehkan penyertaan kontinjen dikawal menggunakan model gelembung sukan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Mengikut rekod, jawatankuasa tertinggi Sukma sebelum ini bersetuju supaya penganjuran Sukma 2022 oleh negeri Johor ditangguhkan kepada 2024.

Penganjuran temasya Sukma sepatutnya berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 manakala Para Sukma bermula 8 hingga 13 Mac 2021 di Johor namun terpaksa dibatalkan disebabkan penularan Covid-19.

Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 6:15pm
d