Sukan Lain

MSC mula jalin kerjasama

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Konfenderasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) memasang wawasan besar untuk melihat sepak takraw negara kembali mempunyai kesinambungan dalam mencari bakat baharu daripada peringkat akar umbi sukan itu.

Menuju ke arah itu, MSC mengumumkan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Masyarakat Bola Rotan (MBR) yang dilihat mempunyai potensi dan ruang yang boleh diterokai dan dimanfaatkan disamping kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Timbalan Presiden 1 MSC, Datuk Seri Khairudin Samad berkata, MSC dan MBR selaku ahli bersekutunya pada mesyuarat agung pertama pembentukan Jawatankuasa Tertinggi 19 Februari 2022, melihat potensi ini dapat dibangunkan di kampung, taman perumahan, sekolah, pekan, bandar dan daerah.

"Sebagai sebuah badan induk baharu sepak takraw negara kami sentiasa teruja untuk menjadi progresif dan proaktif, MSC juga melihat MBR layak menjadi rakan kongsi yang mahir dan berpengalaman luas dalam mencungkil dan menggilap bakat-bakat baharu sepak takraw tanah air.

"MBR selain mempunyai puluhan ribu pengikut media sosialnya, kerap turun padang dengan khidmat bekas-bekas pemain kebangsaan dan negeri untuk melahirkan lebih ramai Adnan Saidin, Nordin Sabarudin, Rehan Mat Din dan Malik Samsudin dalam baru ini.

"Banyak kejohanan dan program pembangunan seperti klinik sepak takraw yang MBR jalankan dan mendapat sambutan menggalakkan umum walaupun mereka hanya bergerak bersendirian dan hanya berbekalkan sumber dan sokongan yang begitu terhad," katanya.

Tambah beliau lagi, MSC cukup terkilan dan kecewa dengan terabainya kesinambungan pembangunan bakat baharu sepak takraw sehingga sukan ini tampak terlalu cuba dikomersialkan dan dikaburi pemain senior.

"MSC juga sedih dengan kecenderungan pasukan-pasukan negeri kepada tekong dan perejam import dari Thailand dalam pertandingan semata-mata demi kejayaan yang bersifat sementara sehingga menyulitkan tempat dan peluang untuk pemain-pemain tempatan menyerlahkan kejaguhan sebenar mereka," katanya.

Sementara itu Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman ketika berucap pada mesyuarat pemilihan jawatankuasa melahirkan rasa kurang senangnya dengan kehadiran pemain Thailand sehingga mengabaikan prestasi anak tempatan sekali gus menumpulkan semangat patriotik mereka.

Justeru tegas Khairudin, MSC sedia membuka pintu kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi demi pembangunan sepak takraw negara.

"Sudah tiba masanya MSC dan MBR menerusi kerjasama kedua-dua kementerian ini, masuk ke kampung, taman perumahan, pekan dan bandar untuk meninjau bakat baharu sepak takraw ini seterusnya mengetengahkan dan mengasuh mereka dengan lebih bersistematik dan bersepadu serta berdaya maju," katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2022 @ 5:07pm
d