Sukan Lain

Arsyad mahu catat masa lebih pantas

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Arsyad Md Saat mahu terus melakar catatan masa lebih pantas apabila beraksi di Terbuka Malaysia dari 4 hingga 6 Mac ini.

Dia yang muncul juara di Kejohanan Olahraga Perak All-Comers kelmarin bertambah teruja untuk beraksi apabila berjaya mengesahkan tempat ke temasya dwi tahunan, Sukan Sea selepas merekodkan catatan 10.48 saat (s) pada aksi separuh akhir di kejohanan itu.

Catatan itu adalah lebih baik berbanding keputusan yang diraih pemenang perak Sukan Sea 2019, Ruttanapon Sowan dari Thailand yang melakukan 10.49s.

Masa yang direkodkan oleh Arsyad itu juga meletakkan dirinya berada dalam senarai pelari pecut terbaik negara untuk musim ini dan mempunyai harapan cerah untuk beraksi dalam acara riben biru itu di Hanoi nanti.

Bagaimanapun, Arsyad, 20, sekadar merekodkan 10.59s di peringkat akhir biarpun meraih emas selepas terpaksa berlari dalam hujan.

Perak dimenangi Jonathan Nyepa yang mencatatkan 10.64s manakala gangsa menjadi milik juara Sukan Sea 2019, Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan 10.73s.

"Saya bersyukur sangat sebab dapat meraih emas dan layak ke Sukan Sea. Saya hanya dapat berlatih untuk kejohanan ini seminggu saja.

"Dua minggu lalu, saya diuji positif Covid-19 dan hanya dapat menjalani latihan seminggu sebelum kejohanan. Syukur saya dapat bangkit kembali dan meraih emas.

"Terima kasih sangat kepada jurulatih, kawan-kawan dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan. Saya mahu terus melakukan catatan yang lebih baik selepas ini," katanya.

Mengulas mengenai sasarannya di Terbuka Malaysia, Arsyad yang dibimbing oleh Muhammad Fitri Abu Hassan Asaari berkata, dia akan cuba memantapkan lagi lariannya dan memperbaiki kelemahan terutama ketika di blok pelepasan.

Disiarkan pada: February 28, 2022 @ 7:08pm
d