Sukan Lain

Al Jufferi tekad bangkit di Vietnam

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Impian pesilat negara, Al Jufferi Jamari untuk menyumbangkan emas di Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara di Singapura, semalam tidak kesampaian apabila mengalami kecederaan.

Namun pesilat utama negara itu berharap akan dapat menebus kehampaan itu dengan membawa pulang emas di temasya Sukan Sea, Vietnam Mei ini.

Jufferi yang beraksi dalam kategori F Putera terpaksa menarik diri daripada meneruskan aksi di final selepas mengalami kecederaan.

"Saya terpaksa menarik diri pada aksi final sebab kecederaan lama yang baru saja sembuh. Tapi Alhamdulillah ia tidak serius.

"Saya akan tebus kembali kekecewaan ini di Sukan Sea dan Kejohanan Dunia nanti. Itulah sasaran utama saya untuk tahun ini," katanya.

Jufferi yang juga juara dunia tiga kali itu berkata, penyertaannya di Singapura itu adalah untuk menguji kemampuannya terutama selepas dua tahun tidak beraksi berikutan pandemik Covid-19.

"Memang rentak saya sedikit terjejas selepas dua tahun tidak beraksi sebarang kejohanan.

"Kejohanan di Singapura ini sedikit sebanyak membolehkan saya menguji kemampuan dan skil berdasarkan peraturan baru yang akan digunakan di Sukan Sea nanti," katanya.

Untuk rekod, Jufferi adalah sandaran utama skuad silat negara di Sukan Sea selepas berjaya meraih emas sebanyak empat kali bermula edisi 2011 di Indonesia, 2013 di Myanmar 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur.

Dia bagaimanapun tidak beraksi di Sukan Sea Filipina.

Pada aksi di Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara itu, skuad negara berjaya membawa pulang dua emas, enam perak dan empat gangsa.

Malaysia meraih dua emas menerusi kategori tunggal putri, Nur Syafiqah Hamzah dan Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas Putera B.

Disiarkan pada: February 28, 2022 @ 10:18pm
d