Sukan Lain

Sea Keong, kopi tak dapat dipisahkan

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Selain berlumba bersama pasukan baharunya Roojai Cycling Team, pelumba basikal profesional negara Loh Sea Keong juga mempunyai tugas tidak rasmi yang lain sebagai pembancuh kopi pasukan itu.

Pelumba berusia 35 tahun itu membawa bersamanya kopi berkualiti dari tanah tinggi Thailand ketika menyertai perlumbaan Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

Sea Keong sebelum ini pernah dilapor menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kopi latte bagi meneruskan kelangsungan hidup susulan penularan Covid-19 di Chiang Rai, utara Thailand yang mana dia tinggal bersama isterinya warga Thailand dan seorang anak.

Dalam hantaran di laman Instagram rasmi Roojai @roojaicyclingteam, Sea Keong dilihat sedang membancuh kopi untuk rakan sepasukannya selepas menghabiskan satu peringkat perlumbaan jelajah itu dengan kapsyen "Selepas perlumbaan... masa untuk menyejukkan diri."

Ketika dihubungi, Sea Keong, yang pernah muncul juara keseluruhan Jelajah Malaysia 2013 ketika berlumba untuk pasukan OCBC Singapore Continental Cycling berkata, semua rakannya mengetuk pintu biliknya sebelum dia bangun pagi meminta dibancuhkan kopi.

"Ya, seminggu berlumba dekat Dubai, hampir setiap pagi mereka ketuk pintu sebelum saya bangun lagi minta buat kopi. Mereka semua minum kopi," katanya yang tinggal sebilik dengan rakan senegara Muhammad Danieal Haikal Eddy Suhaidee yang turut menyertai pasukan berpangkalan di Thailand itu awal tahun ini.

Malah Sea Keong yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan menyertakan mesej daripada rakan sepasukan dari Indonesia, Angga Dwi Wahyu Prahesta "Aku mahu kopinya Loh hahaha" dibalasnya secara berjenaka "5 dolar jam 7, 7 dolar jam 8".

Selain tiga pelumba itu, Roojai turut diwakili Tanaphon Seanaumnuayphon (Thailand), Konstantin Fast (Rusia) dan Valentin Midey (Perancis) pada perlumbaan lima peringkat kategori 2.2 Tour of Sharjah.

Roojai menamatkan kempen di tangga kelima keseluruhan jelajah itu yang dimenangi pasukan profesional negara, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

Sea Keong berkata, dia menghentikan seketika perniagaan kopi latte di tepi jalan berdekatan sebuah hospital di Chiang Rai kerana sibuk berlatih menghadapi perlumbaan bersama Roojai. Pasukan itu akan menyertai Tour of Thailand bermula 1 April depan.

Disiarkan pada: March 1, 2022 @ 12:04am
d