Sukan Lain

Ibu positif, Harrif cadang pulang awal

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pelumba profesional Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Saleh berasa bimbang mengenai keadaan ibunya yang disahkan positif Covid-19 dan bercadang untuk pulang awal dari Turki.

Harrif, 33, yang kini berlatih bersama TSG di Turki sebelum menyertai beberapa perlumbaan jelajah Grand Prix Eropah di negara itu, dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan ibunya Esah Abdullah, 67, beberapa hari lalu.

"Semoga ibuku cepat sembuh daripada Covid-19, insya-Allah... sama-sama doakan. Aamiinn," tulisnya dalam perkongsian di laman Instagram selain memuat naik sekeping foto dia bersama ibunya.

Ketika dihubungi, Harrif, yang muncul naib juara perlumbaan sehari Grand Prix Justiniano di Turki pada 20 Februari lalu berkata, dia mungkin bercadang untuk pulang awal bagi menjaga ibunya yang kini dijaga oleh adiknya di Kampung Ladang Titian dekat Kuala Terengganu.

"Sekarang dia ada di rumah bersama adik saya. Tapi macam saya ni duk jauh rasa bimbang juga sebab saya dengan mak memang rapat. Emaklah yang membesarkan kami lima beradik jadi mungkin saya balik awal sedikit," katanya.

Harrif dan pasukannya berlepas ke luar negara sejak hujung Januari untuk menjalani latihan dan menyertai beberapa perlumbaan jelajah dan perlumbaan sehari di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki dan terbaharu di Rwanda.

Abangnya Mohd Zamri turut berada dalam skuad TSG yang muncul juara keseluruhan pada Tour of Sharjah (UAE) dan Tour of Antalya (Turki) bulan lalu.

Terdahulu, pengurus TSG Mohd Saiful Anuar Aziz memaklumkan pasukan bertaraf benua yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu akan terus berlatih di Turki selepas kempen di Rwanda dan menyertai empat lagi perlumbaan Grand Prix di negara itu sehingga 20 Mac ini.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 10:25pm
d