Sukan Lain

Skuad hoki ais negara mula langkah kanan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan hoki ais lelaki negara memulakan kempen Kejohanan Dunia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV di Bishkek, Kyrgyzstan dengan penuh bergaya selepas membenam Kuwait 5-2 hari ini.

Malaysia yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu terlebih dahulu dikejutkan dalam perlawanan pembukaan selepas Kuwait mendahului babak pertama perlawanan hasil jaringan Salem Alajmi seawal minit keempat.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Gary Tan kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang Mohammad Hariz Mohammad Oryza Ananda pada minit ke-20.

Kemudian, jaringan hatrik Muhammad Fareez Afdlin Mohd Fauzi pada minit ke-32, ke-34 dan ke-37 meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa 4-1.

Pemain pertahanan Goh Juan Jie terus mengukuhkan kedudukan apabila menyumbang gol kelima negara pada minit ke-38 manakala Alli Alsarraf pula menjaringkan gol kedua Kuwait pada minit ke-46 dalam babak ketiga perlawanan.

Skuad negara selepas ini akan menentang tuan rumah Kyrgyzstan pada 5 Mac, diikuti Iran (7 Mac) dan Singapura (8 Mac).

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 11:10pm
d