Sukan Lain

MOM gesa kemelut sepak takraw diselesaikan segera

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak mempunyai jalan lain apabila perlu mendapatkan pengiktirafan daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sekiranya mahu terus menjadi sebahagian daripada 'keluarga' Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menurut Presiden MOM Tan Sri Mohd Norza Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya hanya akan mengiktiraf persatuan sukan sebagai ahli gabungan apabila mereka turut diterima di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ketika ini PSM masih lagi sebagai ahli gabungan MOM namun keputusan itu mungkin akan berubah jika Astaf menerima Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk bersama mereka.

"Sebagai Presiden MOM, sudah pastinya saya mahu krisis PSM ini diselesaikan secepat mungkin kerana dalam sukan perlu kurang berpolitik dan lebih kepada memajukan sukan itu.

"Jika situasi ini terus berlanjutan mungkin akan mengganggu gugat perkembangan sukan takraw negara. Melihat kepada senario sekarang ini, apa saja keputusan mereka (Astaf) akan jadi ahli gabungan kita.

"Setakat ini, PSM masih lagi ahli gabungan kita, namun kita akan mengadakan perbincangan jika Astaf mengiktiraf persatuan lain," katanya, ketika ditemui selepas Majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan Petronas, di sini, semalam.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Astaf memaklumkan bahawa MSC kini hampir pasti diterima menjadi ahli gabungan mereka.

Presiden Astaf, Datuk Halim Kader dalam satu kenyataan memaklumkan Astaf sudahpun menerima salinan surat sokongan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyatakan sokongan untuk menjadi ahli gabungan Astaf.

Selain itu, PSM pula sudah membuat bayaran penuh bagi melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin Astaf sebanyak AS$15,000 (RM63,886.25).

Pembayaran itu menyaksikan PSM mengikut kemahuan Astaf biarpun tanpa pengurangan 50 peratus seperti yang diingini sebelum ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan dalam satu kenyataan berkata, PSM terpaksa membuat bayaran penuh selepas surat memohon pengurangan bayaran tidak mendapat reaksi balas daripada Astaf.

Disiarkan pada: March 4, 2022 @ 6:07pm
d