Sukan Lain

Irwandie naib juara GP Gazipasa

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Irwandie Lakasek membuktikan dia juga perlu diberi perhatian apabila meraih tangga kedua pada perlumbaan sehari Grand Prix Gazipasa di Turki semalam.

Irwandie, 27, bersaing hebat di garisan penamat dengan pemenang Onur Balkan dari Turki (Sakarya BB Pro Team) manakala Yevgeniy Gidich dari Kazakhstan di tangga ketiga.

Ketiga-tiga pelumba mencatat masa sama dua jam 40 minit dua saat pada perlumbaan kategori 1.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sejauh 120.6 kilometer di Gazipasa.

"Kami ada podium! Permulaan yang hebat bagi hujung minggu ini dengan penamat tempat kedua oleh Irwandie Lakasek @thewendish54 pada Grand Prix Gazipasa.

"Kerja sepasukan yang mengagumkan daripada semua pelumba yang membantunya berada di depan, syabas semua!" menurut TSG dalam laman Instagram rasmi mereka terengganupolygoncyclingteam.

Pelumba TSG dari Eritrea, Metkel Eyob menamatkan perlumbaan di tangga ke-30, Muhamad Afiq Huznie Othman (39), Anatolii Budiak (52), Mohd Shahrul Mat Amin (80) dan Youcef Reguigui (86) pada perlumbaan menampilkan 246 pelumba daripada 25 pasukan itu.

Pengurus pasukan TSG Mohd Saiful Anuar Aziz berkata, persembahan Irwandie ketika menjalani kem latihan hampir sebulan di Turki nyata banyak peningkatan dalam pendakian.

"Hampir 80 peratus latihan di Turki banyak tertumpu di laluan berbukit. Perlumbaan semalam membabitkan tiga pusingan berbukit jadi kami turunkan Irwandie selaku pakar pecut yang ada kelebihan untuk short climb.

"Kalau dilihat situasi dan laluan sama seperti tahun lalu, kelebihan kepada pakar pecut yang boleh mendaki untuk menang, jadi perlumbaan semalam berakhir dalam kelompok pecutan juga dan Irwandie di kedudukan kedua," katanya ketika dihubungi.

Ia podium ketiga TSG tahun ini pada perlumbaan sehari di Eropah selepas pelumba baharu dari Ukraine, Budiak menamatkan saingan di tangga ketiga Grand Prix Alanya pada 5 Februari lalu dan Mohd Harrif Saleh menghuni tangga kedua Grand Prix Justiniano pada 20 Februari lalu.

Budiak turut menjejak podium empat kali, sekali pada peringkat ketiga Tour of Sharjah dan tiga kali pada Tour du Rwanda baru-baru ini apabila dia menduduki tangga kedua peringkat keempat serta muncul juara peringkat keenam selain menghuni tangga kedua keseluruhan bagi merebut jersi kuning.

TSG, pasukan bertaraf benua yang berpangkalan di Kuala Terengganu, juga muncul juara keseluruhan kategori berpasukan Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (28 Januari-1 Februari) dan Tour of Antalya di Turki (10-13 Februari)

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 2:43pm
d