Sukan Lain

Faris jaguh 'downhill' kebangsaan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Pelumba Sarawak, Mohamad Faris Mohd Nashari muncul juara baharu kebangsaan acara basikal 'downhill' pada Kejohanan Basikal Bukit Kebangsaan 2022, hari ini.

Mohamad Faris memenangi acara yang diadakan di Taman Cabaran Putrajaya dengan catatan masa 1:47:398 saat (s) mengatasi pelumba Terengganu, Ameer Akbar Anuar yang mencatat kepantasan 1:47:591s manakala seorang lagi pelumba Sarawak, Yohannes Lorenza Meahean yang mencatat masa 1:53:806s meraih pingat gangsa.

Selain Mohamad Faris dan Yohannes, Sarawak menghantar seorang lagi pelumba, Zandine Yazid Izdane Ahmad Faizal untuk bersaing dalam acara itu.

Bagi acara Merentas Desa Olimpik kategori lelaki bawah 23 tahun, pelumba Sarawak, Muhammad Naziff Salmi pula menduduki tempat ketujuh.

Pengurus pasukan berbasikal Sarawak, Irawan Sudarsono berkata, kejayaan Mohamad Faris itu menceriakan kem Sarawak menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) pertengahan tahun ini.

"Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) amat berbangga dengan pencapaian dalam acara 'downhill' itu dan berharap pelumba dapat meneruskan momentum kemenangan menjelang Sukma di Kuala Lumpur nanti.

"Sebagai juara kebangsaan, Mohamad Faris akan mewakili Malaysia ke Sukan Sea akan datang yang diadakan di Vietnam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Irawan berkata, pasukan berbasikal Sarawak bagi Kejohanan Basikal Bukit Kebangsaan 2022 dibimbing jurulatih, Muhammad Aim Mohamad Fauzi, Awang Adib Awang Sufian dan Rosnina Minggu.

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 6:19pm
d