Sukan Lain

Empat lagi atlet olahraga layak ke Hanoi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Empat atlet olahraga kebangsaan berjaya layak secara merit untuk beraksi di Sukan Sea Hanoi, Mei depan, berdasarkan pencapaian mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-97.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata mereka yang mengungguli acara masing-masing itu terdiri daripada tiga atlet lelaki iaitu M. Avinesh Austin (800 meter), Farm Loong Deng (lontar peluru) dan Muhaizar Mohamad (marathon) serta Norliana Kamaruddin (heptatlon) yang merupakan satu-satunya atlet wanita menempah slot ke temasya dwitahunan itu, pada hari terakhir kejohanan tersebut hari ini.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan 22 atlet olahraga negara telah layak ke Vietnam bagi acara masing-masing menerusi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya).

"Sepanjang dua hari kejohanan berlangsung bermula semalam, kami dapat lihat persaingan hebat terutamanya empat atlet yang telah dapat ke Hanoi bagi kategori A walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan.

"Atlet muda juga nampaknya sedia beri tentangan sengit kepada atlet senior dan dalam beberapa acara pada kejohanan ini dan secara tidak langsung memberi petanda baik untuk sukan olahraga kita," katanya.

Kejohanan berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, itu menyaksikan nama-nama besar seperti Muhammad Haiqal Hanafi (100m), Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), serta dua atlet lompat tinggi iaitu Lee Hup Wei (lelaki) dan Yap Sean Yee (wanita) gagal melepasi had kelayakan ditetapkan ke Hanoi.

Bagaimanapun, Mohd Manshahar berkata peluang atlet yang tidak berjaya layak secara merit masih ada namun ia bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang akan bermesyuarat esok bagi menentukan senarai akhir.

Menurutnya, mereka yang diberi peluang kedua itu dijangka dihantar ke Vietnam di bawah kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat).

Dalam pada itu, Mohd Manshahar memaklumkan terdapat beberapa kejohanan tempatan yang bakal menjadi medan persediaan kesemua atlet yang layak ke Sukan Sea Hanoi.

Beliau juga menolak keperluan menghantar atlet ke pertandingan di benua Eropah sebelum ke Sukan Sea, dan lebih rela melihat mereka beraksi dalam kejohanan di peringkat Asia.

"Sekiranya beraksi di Eropah, kami perlu buat persediaan awal sejak Disember lepas termasuk proses dokumentasi namun saya lebih suka atlet bertanding dalam kejohanan di Asia kerana suasana serta cuaca dilihat sama seperti di Vietnam," katanya.

Keputusan:

200m lelaki:

Emas: Muhammad Azeem Mohd Fahmi (PRK) - 21.63s

Perak: Jonathan Nyepa (ATM) - 21.70s

Gangsa: Tan Zong Yang (SGP) - 21.83s

800m lelaki:

Emas: M. Avinesh Austin (SEL) - 1:50.48s

Perak: Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (KEL) - 1:53.77s

Gangsa: Jeff Lim Zhe Yu (SEL) -2:00.98s

800m wanita:

Emas: J. Padhmaloshini (JHR) - 2:20.15s

Perak: Hong Xyan (PNG) - 2:29.68s

Gangsa: Jerusha Olive Jason (SEL) - 2:36.96s

Heptatlon wanita:

Emas: Norliana Kamaruddin (NS) - 4839 mata

Perak: Mazween Ubong Lah (SWK) - 3758 mata

Gangsa: Nur Syazira Zulhaini (PER) - 3475 mata

Lontar peluru wanita:

Emas: Nani Sahirah Maryata (PHG) - 12.67m

Perak: Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar (PHG) - 11.17m

Gangsa: Nurul Aqma Mohd Nizam (KDH) - 10.74m

Rejam lembing lelaki:

Emas: Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi (PER) - 56.84m

Perak: Mohd Alif Mohd Razi (SBH) 56.32m

Gangsa: Chua Yi Xian (MEL) 53.06m

400m lari berpagar lelaki:

Emas: Quek Jun Jin Calvin (SGP) - 52.35s

Perak: Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (JHR) - 55.94s

Gangsa: Mohd Irfan Izzan Mohd Fetry (SBH) - 56.41s

400m lari berpagar wanita:

Emas: Nor Shakiratul Aina Mohamad Asri (TRG) - 65.63s

Perak: Frenynila Sherly Lucius (SBH) - 67.79s

Gangsa: Nur Nasyatul Nadia Nasri (KDH) - 69.50s

Lompat kijang lelaki:

Emas: Andre Anura @ Anuar (SBH) - 16.09m

Perak: Brendon Ting Li King (SWK) - 15.62m

Gangsa: Mohd Shah Sholihin Azshar (PRK) - 15.11m

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 9:49pm
d