Sukan Lain

Russel taruhan KOM pertahankan emas 100m

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ketiadaan Haiqal Hanafi dalam acara 100 meter (m) di Sukan Sea Hanoi menyaksikan tumpuan sekarang terarah kepada Russel Alexander Nasir Taib untuk cuba mempertahankan emas dalam yang sudah dipegang Malaysia sejak 2017.

Menurut ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil prestasi semasa Russel Alexander membolehkannya menjadi taruhan untuk meraih pingat dalam acara berkenaan atau pun mengulangi pencapaian yang dilakukan Khairul Hafiz Jantan (2017) dan Haiqal (2019).

"Russel sekarang berada di Australia menjalani latihan dan berpangkalan di sana. Berdasarkan situasi semasa dia berada dalam keadaan konsisten dengan catatan terbaik 10.46 saat (s)," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM semalam.

Ujar Manshahar, catatan yang dilakukan Russel Alexander itu membolehkannya berkemungkinan untuk menghadiahkan pingat buat negara dalam acara berkenaan.

"Apa warna pingat belum pasti, kerana Thailand, Indonesia dan Singapura juga mempunyai pelari terbaik. Secara asas apa-apa saja boleh berlaku, sama seperti Haiqal yang tidak letakkan sasaran dan harapan tapi mampu memberikan emas (di Manila).

"Mungkin akan berlaku kejutan, hanya masa itu sendiri yang bakal menentukan siapa terpantas dan terbaik. Banyak kejohanan yang kita lihat juara lahir pada ketika dan masa kejohanan berlangsung," katanya.

Russel Alexander berjaya membawa pulang gangsa dalam acara 200m di Manila dan dia kemudiannya membantu kuartet 4x100m lelaki negara meraih perak.

Ditanya mengenai sasaran lima emas yang ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Manshahar berkata, ia adalah buruan yang realistik untuk diraih di Hanoi.

"Atlet sedia ada mampu meraih lima emas walaupun kita sedar cabaran paling sengit sudah pasti datang daripada negara tuan rumah, Vietnam. Begitu juga negara seperti Filipina dan Indonesia. Cuma Thailand dan kita masih lagi mencari rentak. Jadi dalam tempoh dua bulan yang kita ada ini kita harus melakukan persiapan rapi," katanya.

Semalam, KOM mengumumkan tetap akan menghantar Haiqal di temasya yang sama tahun ini namun pelari pecut negara itu hanya mengambil bahagian dalam acara 4x100m lari berganti-ganti.

Menurut Presiden KOM, Datuk SM Muthu, Haiqal berada dalam pasukan olahraga negara untuk ke temasya berkenaan namun tiada tempat buat atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei walaupun bagi kategori B.

Disiarkan pada: March 8, 2022 @ 1:59pm
d