Sukan Lain

Tiga kejohanan Eropah uji Khairulnizam

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas berjaya meraih perak di Kejohanan Pelayaran Asia di Abu Dhabi pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy terus memantapkan persiapan ke Sukan Asia Hangzhou dengan bakal menyertai tiga lagi kejohanan.

Menurut atlet berusia 28 tahun itu selepas mengharungi dua kejohanan tahun ini iaitu di Grand Prix (GP) Portugal pada Februari dan Kejohanan Asia tumpuannya sekarang terarah kepada saingan di Eropah.

Tiga kejohanan yang bakal menjadi pentas seterusnya iaitu di Piala Eropah di Pollensa, Sepanyol minggu depan; kejohanan Trofeo SAR Princess Sofia (Piala Dunia), pada April dan Kejohanan Dunia di Mexico (Mei) yang bakal menjadi gelanggang terbaik buatnya untuk mengenali lawan di Sukan Asia nanti dengan lebih rapat.

"Untuk permulaan musim ini, bagi saya Alhamdulillah baik. Sebelum Kejohanan Asia (Abu Dhabi), saya ada kejohanan GP Portugal dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dari 76 peserta.

"Selepas itu, saya ke Abu Dhabi untuk Kejohanan Asia dan Alhamdulillah dapat nombor dua. Setakat ini, prestasi berada dalam keadaan baik, di landasan terbaik untuk kita mempertingkatkan lagi kemampuan dan mempersiapkan diri ke Sukan Asia.

"Selepas ini ada dua lagi kejohanan di Sepanyol, Piala Eropah dan Piala Dunia. Saya harap di situ nanti, saya dapat memperbaiki lagi prestasi dan selepas itu akan menyertai Kejohanan Dunia di Mexico pada Mei. Di situ pun, salah satu tempat untuk saya melihat pesaing ke Sukan Asia.

"Kebanyakan peserta di sini juga yang akan ke Sukan Asia. Jadi saya sudah tahu kebanyakannya dan mungkin ada dua, tiga negara yang saya tak berapa pasti lagi, siapa yang akan beraksi.

"Jadi kita lihat nanti, perancangan (program) ini masih lama lagi, enam bulan dan setiap kejohanan itu ada sasaran kita tersendiri dan apa proses yang kita perlu lalui dan memperbaiki kelemahan. Sasaran utama adalah Sukan Asia dan harap dapat berada di kemuncak di Sukan Asia nanti," katanya yang meraih perak di Sukan Asia Jakarta 2018.

Kali terakhir pasukan pelayaran membawa pingat emas di Sukan Asia adalah di Incheon 2014 menerusi Ahmad Syukri Abdul Azizi dan Mohamad Faizal Norizan dalam acara duo dinghy 420 lelaki.

Disiarkan pada: March 8, 2022 @ 6:43pm
d